Sunday, 18 February 2018

BENDERA PARTI DITURUNKAN PBT


Catatan 18-02-2018 - Pilihan Raya Umum Ke 14 belum pasti bila akan berlangsung. Macam-macam tarikh disebut-sebut akan diadakan PRU.

Tahun 2017, ada orang kata bulan November atau Disember. Kononnya masa tu cuti sekolah.

Masuk tahun 2018, ada pak nujum kata bulan Mac, kerana musim cuti sekolah. Ada juga kata bulan Mei, sebelum Ramadan.

Perdana Menteri apabila diajukan soalan bila nak bubar Parlimen, beliau kata tengah tunggu ilham.

Yang nak dikongsikan dalam catatan ini sebenarnya tentang pemasangan bendera parti. Sekarang di kebanyakan tempat sudah banyak bendera parti dipasang.

Kalau nak ikut peraturan betul-betul, perkara itu menyalahi undang-undang. Bendera parti hanya boleh dipasang di sesuatu kawasan pilihan raya, sama ada parlimen atau DUN adalah selepas penamaan calon. Hanya parti yang bertanding di kawasan berkenaan boleh memasang bendera parti sebagai sebahagian kempen.

Namun, disebabkan ghairah nak tunjuk kekuatan masing-masing, ahli parti pasang bendera biarpun tahu salah. Kalau ikut peraturan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhak membuang bendera yang dipasang itu dan boleh mengelurkan kompaun kepada parti yang terlibat.

Dalam hal ini, PBT perlu bersikap adil. Jika benar-benar ingin menguatkuasakan larangan itu, pastikan semua bendera parti dibuang atau diturunkan. Jangan pula parti tertentu buat tidak peduli dan parti lain diturunkan dengan cepat.

Hal ini boleh menimbulkan perbalahan atau rasa tidak puas hati penyokong parti yang mana bendera parti mereka diturunkan, sedangkan parti lain dibiarkan.

Contohnya apa yang berlaku di Kota Bharu semasa lawatan Perdana Menteri pada 28 Jan 2018 di mana bendera Barisan Nasional yang dipasang di beberapa tempat sebagai meraikan ketibaan itu telah dibuang oleh individu yang mengaku sebagai mewakili PBT.

Perbuatan itu telah menimbulkan kemarahan penyokong BN kerana bendera itu hanya dipasang untuk tujuan sambutan dan akan diturunkan apabila Perdana Menteri pulang.

Lebih menaikkan kemarahan penyokong BN ialah pada masa sama terdapat banyak bendera parti lain yang dipasang di sekitar bandar Kota Bharu, tetapi tidak diturunkan oleh oleh PBT.

Justeru, PBT perlu berlaku adil dan melihat kepada tujuan pemasangan bendera dibuat. Jika ingin bertegas mengikut peraturan, lakukan kepada semua parti. Itulah sepatutnya.

No comments:

Post a Comment