Biarpun kerugian yang ditanggung
tidak besar, ia bukan alasan untuk menganggap perkara ini remeh. Secara
keseluruhannya skim ini telah melahirkan kesan negatif yang berpanjangan,
terutama kepada orang Islam.
Antara sebab mengapa surat berantai
terus berada dalam edaran ialah, kononnya atas dasar untuk kebaikan umat Islam.
Memang banyak orang Islam terlibat dalam skim itu kerana keliru yang kononnya
skim itu berbentuk sedekah dan sesiapa menyertainya dianggap membantu sesama
Islam.
Skim sedekah itu didakwa hanya untuk
umat Islam. Ada juga ustaz yang diajukan pandangan tentangnya mengatakan skim
itu patut disertai oleh orang Islam. Mereka
membuat rumusan tersebut tanpa membuat usul periksa. Asalkan atas dasar Islam,
maka semua boleh dan patut dilakukan.
Sikap tidak mahu menyelidiki dan
membuat ‘home work’ adalah antara punca umat Islam tidak mendapat maklumat yang
tepat mengenai sesuatu perkara. Hal ini diambil kesempatan pihak yang ingin
memperbodohkan orang Islam. Apa sahaja yang disogokkan mengenai kebaikan untuk
orang Islam akan diterima dengan mudah.
Untuk mempengaruhi orang ramai
menyertainya, kandungan surat itu disertakan dengan petikan ayat al-Quran dan
hadis yang menggalakkan amalan tolong menolong dan bekerjasama. Ayat al-Quran
dan hadis yang dikemukakan memang tepat maksudnya. Malangnya ia digunakan untuk
tujuan mengeliru dan menipu mereka yang jahil mengenai agama.
Rezeki yang diberikan oleh Allah
kepada kita wajib dikongsikan bersama orang Islam lain dengan cara menyertai
skim itu. Sesiapa yang menyertainya dianggap telah bersedekah, menolong atau
memberi kebaikan kepada orang Islam.
Memandangkan skim itu berbentuk
sedekah membantu sesama Islam, maka di dalam surat berantai itu dijelaskan agar
ia tidak diedarkan kepada orang bukan Islam. Dengan itu orang bukan Islam tidak
akan memperoleh keuntungan daripada skim yang didakwa dicipta khas untuk orang
Islam itu.
Tidak kurang juga menyertainya
disebabkan perasaan tamak dan mudah percaya kepada tawaran hebat. Skim itu
menyebabkan ada orang begitu yakin akan kaya dengan cara itu. Mereka sanggup
membuat salinan melebihi yang diarahkan agar mendapat lebih daripada itu.
Banyak orang mudah dikuasai sikap
tamak Untuk mendapat untung lebih, ada yang sanggup mengeluarkan belanja lebih
mengiklankan skim itu di akhbar. Lepas
itu mereka memasang angan-angan kosong. Ada yang sudah awal-awal lagi membeli
secara kredit atau sewa beli yang akan dibayar menggunakan wang yang bakal
diperoleh nanti.
Pada peringkat awal, skim ini
menggunakan asas sumbangan satu ringgit. Peserta memberi sumbangan kepada peserta
terdahulu yang layak secara wang pos atau kiriman wang. Biarpun jumlah sumbangan
agak kecil, tetapi disebabkan pesertanya ramai, jumlah wang yang didakwa
berjaya dikumpul agak besar.
Orang menerima surat ‘tawaran’ mudah
terpedaya kerana keuntungan yang dijanjikan amat lumayan, berbanding ‘modal’
yang diperlukan.
Bagaimanapun, skim itu mula
meningkatkan jumlah sumbangan antara RM10 hingga RM50 apabila menggunakan
transaksi bank. Disebabkan ‘penyertaan’ bank, maka lebih mudah menperdaya orang
ramai yang kononnya program itu sah di sisi undang-undang. Sedangkan sebenarnya
tidak ada bank yang terlibat dalam program ini.
Turut disertakan ialah testimoni
peserta yang didakwa telah mendapat wang yang banyak melalui skim tersebut. Ini
untuk menyokong keberkesanan skim tersebut agar menghilangkan keraguan penerima
surat berantai itu.
Sesiapa yang menyertai program itu
dianggap telah berjihad ke jalan Allah. Pahala jihad memang besar. Jadi, orang Islam mudah terpedaya jika
dikaitkan dengan jihad, apatah lagi mereka juga menikmati keuntungannya. Mereka
mendapat pahala jihad dan wang sekali gus.
Malah, sesiapa tidak mahu menyertai
skim itu ‘diugut’ dianggap anti Islam dan tidak mahu berjihad ke jalan Allah. Mereka
dikatakan kedekut dan tidak bersyukur dengan rezeki dianugerahkan Allah.
Skim ini turut menjadi pilihan mereka
yang pernah tertipu dalam skim cepat kaya. Mereka ingin menjadikan skim ini
sebagai penebus kerugian yang pernah dialami dalam skim cepat kaya.
Kita tentu masih ingat mengenai skim
cepat kaya yang menyebabkan banyak orang jatuh bankrap. Mereka tidak serik
tertipu dengan skim cepat kaya dan mencuba cara lain pula.
Secara teorinya, jumlah wang yang
dinyatakan boleh dipercayai. Secara matematik, jumlah yang dinyatakan bakal
diperoleh memang tepat dan tidak perlu diragukan.
Tetapi sebenarnya tidak berlaku
begitu. Terdapat dua faktor kegagalan skim tersebut. Pertamanya penerima surat
tidak menyertai kerana tidak mempercayainya. Keciciran peserta pada setiap
peringkat akan mengurangkan jumlah terkumpul.
Bagaimanapun, kegagalan utama skim
ini ialah para peserta menipu. Walaupun sekarang disyaratkan menyertakan
fotostat slip simpanan bank, banyak yang menipu dengan cara membuat bayaran
sesama sendiri dan mengubah kedudukan peserta secara tidak mengikut
peraturan.
Orang tamak memang tidak ikhlas
dalam apa yang dilakukan. Mereka hanya mengharapkan keuntungan untuk diri
sendiri tanpa ingin memberi kebaikan kepada orang lain.
Benarkah skim ini sebagai tujuan
bantu membantu sesama Islam? Sebenarnya
cara ini telah dikenalpasti dianjurkan oleh mereka yang sengaja melahirkan
masyarakat yang malas bekerja tetapi ingin cepat kaya.
Sekiranya benar ingin membantu,
mengapa pula kita mengharapkan balasan yang lebih daripada apa yang kita
sumbangkan. Ini mengajar sikap tidak ikhlas membantu. Apa yang jelas sebenarnya
mereka yang menyertai skim itu bukan bertujuan membantu, tetapi mencari peluang
untuk mendapat kekayaan dengan mudah.
Justeru, umat Islam tidak wajar
menyertai apapun bentuk skim yang dijanjikan pulangan lumayan dengan hanya
sedikit usaha. Alasan demi kepentingan umat Islam hanya satu pembohongan dan
perangkap yang mudah mengena orang yang tamak.
Hakikatnya, skim ini sengaja
diada-adakan bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran negatif. Ia diumpamakan seperti satu perjudian
mengharapkan satu pertaruhan sedikit untuk mendapat keuntungan yang banyak
dengan hanya sedikit usaha.
Kebanyakan orang tidak menyedari
dirinya telah terperangkap berkaitan surat berantai. Justeru, menjadi
tanggungjawab sesama Muslim saling menasihati atau menyebarkan maklumat ini
agar mengelak lebih banyak lagi menjadi mangsa.
Setiap orang perlu berusahalah
mencari rezeki dengan kemampuan sendiri. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat kemewahan. Berusahalah melakukan
usaha mencari rezeki biarpun memperoleh pulangan yang sedikit. Jika dilakukan
berterusan, hasil yang sedikit tetap bertambah menjadi banyak.
Sekiranya skim surat berantai itu
memang satu cara berkesan untuk membantu sesama Islam, pihak berkuasa agama
atau kerajaan pasti memberi galakan. Sebaliknya, apa yang pasti, kerajaan dengan tegas berusaha membanteras
skim yang telah banyak memerangkap orang ramai.
No comments:
Post a Comment