Saturday 13 February 2021

BILAKAH USIA MULA DICATATKAN DOSA PAHALA

Usia remaja dikaitkan hidup penuh cabaran dan memerlukan bimbingan untuk membina jati diri agar tidak terpesong ke arah membinasakan diri sendiri, keluarga dan negara. Perhatian khusus perlu diberikan memandangkan terdapat banyak kes melibatkan remaja dikatikan perkara negatif. 

Tidak dinafikan bukan semua remaja berdepan perkara itu. Namun, jika perkara ini tidak dicegah ia akan merosakkan imej seluruh remaja. Kejadian ini tentunya cuba dielak memandangkan imej remaja sebagai aset terpenting negara perlu dijaga. 

Perjalanan hidup remaja masih jauh dan memerlukan lebih banyak pengalaman untuk mencapai kejayaan hidup pada masa depan serta menjadi hamba yang mendapat keredaan Allah. Kejayaan yang diharapkan bukan saja di dunia, bahkan lebih penting lagi kehidupan di akhirat. 

Remaja perlu memiliki ciri keunggulan iaitu dari segi keperibadian, pengetahuan berkaitan hukum dan amalan seorang muslim, penguasaan ilmu serta kemahiran dan akhlak mulia. 

Remaja harus memahami tujuan manusia dilahirkan di dunia ini dengan mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. 

Dalam mengharungi kehidupan ini, kita mesti mengetahui bahawa setiap amalan besar mahu pun kecil, baik atau jahat tidak terlepas daripada dicatat oleh dua malaikat yang ditugaskan untuk setiap manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah al-Qaf, ayat 17-18).

Soal dosa pahala mula dicatatkan apabila seseorang dikira mencapai umur akil baligh. Akil baligh bermaksud telah cukup umur mengikut Hukum Syarak, di mana baligh berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud sampai. Dari segi istilah, akil baligh boleh difahami sebagai sampai atau cukup satu tahap umur manusia dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi untuk memikul tanggungjawab serta menerima dan mengamalkan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Definisi akil baligh boleh difahami sebagai satu peringkat dalam hidup, di mana tubuh badan berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Dalam fasa perubahan baligh, individu lelaki atau perempuan juga dikatakan sudah akil baligh apabila akalnya sudah berfungsi dengan sempurna untuk membezakan dan memilih mana yang baik atau benar dan mana yang buruk atau salah.

Bagi kanak-kanak lelaki dikira akil baligh apabila 'datang mimpi' dan bagi perempuan pula 'datang bulan'. 

Umur akil baligh tidak sama antara individu. Perempuan biasanya lebih awal baligh antara umur 9 hingga 12 tahun. Manakala lelaki pula ketika lingkungan umur 12 hingga 15 tahun. 

Hukum fikah membincangkan secara khusus perkara ini, termasuklah dalam hal-hal dianggap 'kejadian luar biasa' bagi menentukan seseorang itu telah dikira baligh biarpun tanpa tanda-tanda umum yang biasa dialami individu lain. Hal ini penting kerana ia melibatkan kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadat serta perkara berkaitan halal dan haram.

Kembali kepada perbincangan kehidupan alam rermaja, nyata sekali soal dosa pahala bukannya dikira apabila umur dewasa yang biasa difahami kebanyakan orang iaitu apabila mencapai usia 21 tahun atau apabila telah berkahwin. 

Dengan kata lain, amat malang sekali apabila didapati golongan remaja masih jahil dan jauh daripada amalan agama, sedangkan mereka sebenarnya telah dikira baligh dan telah dicatatkan dosa dan pahalanya. Maka itu, bukan alasan untuk remaja hidup tanpa batasan agama semata-mata merasakan diri mereka masih muda atau tidak mengetahui hukum agama.

Di sini pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak mengenai agama sejak awal lagi. Perkara pokok adalah solat. Rasulullah menyuruh agar anak diajar bersembahyang ketika umurnya tujuh tahun dan jika ketika umur 10 tahun masih berdegil tidak mahu bersolat, maka hendaklah dipukul untuk pengajaran.

Sesungguhnya, pengisian kehidupan seharian remaja mesti bersandarkan kepada kehendak agama seperti mana terkandung di dalam al-Quran dan sunnah sebagai penunjuk ke arah jalan yang diredai Allah. Keseimbangan dan keterampilan dalam beragama akan menentukan matlamat hidup tidak lari dari apa yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment