Tuesday, 17 May 2022

CINA KELANTAN ADA INDENTITI TERSENDIRI

 
Kaum Cina adalah penduduk kedua teramai di Malaysia, selepas kaum Melayu. Kaum Cina ada di semua negeri, termasuk Kelantan.

Kehadiran kaum Cina ke Tanah Melayu ada sejarah tersendiri yang berbeza-beza. Penghijrahan kaum Cina ke Kelantan dikatakan lebih awal berbanding kumpulan yang masuk ke Tanah Melayu untuk menjadi pelombong bijih timah di Perak, Selangor (termasuk Kuala Lumpur) dan Negeri Sembilan.

Cina Kelantan hidup dalam kelompok masyarakat Melayu dan membentuk indentiti tersendiri.

Baca catatan pemilik akaun FB Teyun Tpoo;

Amo bangga lahir dalam masyarakat etnik Cino Kapong Klate. Masyarakat yang mempunyai cara hidup dan budaya hasil dari asimilasi budaya Melayu tempatan dan Siam.

Mengguna bahasa pertuturan harian gabungan bahasa Hokkian, Melayu loghat Kelantan dan Siam tempatan. Bangga dengan seni bina kediaman gabungan seni bina Cina dan Melayu tempatan yang amat unik.

Walau pun dilanda arus pembangunan dan cara hidup baru tetapi semangat kekitaan, kesefakatan, kerjasama dan gotong royong masih menebal.

Kini kami sedang bergotong-royong membina sebuah dewan serba guna yang boleh diubah suai menjadi 3 gelanggang badminton. Siap dengan dapur tempat memasak, boleh digunakan sebagai tempat kenduri-kendara oleh penduduk kampung.

Semua penduduk yang ada kemahiran pertukangan bangunan, kayu, besi dan simen gabung bersama. Yang tiada kemahiran menjadi buruh kasar. Bergotong-royong setiap hari cuti secara sukarela. Yang perempuan akan bergilir-gilir menyediakan makanan dan minuman.

Semua orang sama-sama menderma wang ringgit, bahan binaan dan tenaga. Bukan hanya yang menetap di kampung malah yang tinggal dan kerja di luar juga sama-sama menyumbang.

Terima kasih juga kepada dermawan-dermawan dari luar yang sama-sama menyumbang untuk menyiapkan dewan yang tidak pasti bila tarikh siapnya.

13 Mei 2022

No comments:

Post a Comment