Friday, 15 November 2024

JURUTERBANG JET PEJUANG WANITA PERTAMA TUDM

 
Sekitar tahun 1986, nama Emilia binti Kamaruddin mencetuskan inspirasi kepada masyarakat dengan membuktikan bahawa wanita juga mampu mengharungi kerjaya yang mencabar seperti tentera.
 
Lebih menarik lagi, Emilia bersama dua lagi wanita iaitu Fadzillah binti Abdullah dan Zainab binti Sharil telah dipilih untuk menjalani latihan ketenteraan di TUDM Kinrara, Kuala Lumpur dan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM berpangkat Leftenan pada 3 November 1986.
 
Emilia kemudiannya mengikuti kursus latihan penerbangan asas di Pusat Latihan Penerbangan Satu di TUDM Alor Setar, kedah iaitu melalui fasa kajian bawah dan fasa penerbangan dan setelah lulus menerima sayap penerbangan.
 
Setelah upacara penganugerahan sayap penerbangan pada April 1988 selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam, bermulalah episod kerjaya Emilia sebagai juruterbang wanita pertama di TUDM dan beliau meneruskan penerbangan lanjutan untuk menerbangkan pesawat pejuang.
 
Emilia pemegang ijazah di Universiti Loughborough, England, United Kingdom, pada awalnya tidak bercita-cita untuk menceburi bidang ketenteraan, namun tertarik dengan iklan pengambilan pegawai TUDM, mendorongnya mencuba nasib. 
 
Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3, mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan dunia penerbangan ketenteraan.
 
Pencapaiannya beliau adalah sumber inspirasi bagi para wanita yang ingin menjalani kehidupan yang penuh dengan latihan fizikal dan disiplin ketenteraan.
 
Malah, Emilia adalah contoh bahawa kecekalan, kekuatan mental, dan semangat tidak terbatas pada gender.
 
Peranannya dalam angkatan tentera menunjukkan bahawa wanita juga mampu memikul tanggungjawab dan menghadapi cabaran yang sama seperti lelaki. 
 
Skuadron jet pejuang yang menjadi lokasi pertama Emilia bertugas ialah Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang iaitu menerbangkan pesawat Skyhawk iaitu dari 1989-1992 dan sebagai juruterbang pejuang wanita yang pertama setiap gerak-geri menjadi keprihatinan semua pihak kerana Emilia adalah wanita yang pertama membuat kerja yang selalunya dilakukan oleh orang lelaki.
 
Lebih membanggakan lagi, Emilia juga merupakan Jurulatih Penerbangan Wanita yang pertama apabila dipilih untuk menjadi guru melatih pelatih juruterbang yang hampir 100 peratus adalah lelaki kerana TUDM tidak mengambil ramai juruterbang wanita maka anak didik Emilia kebanyakannya adalah lelaki daripada 1992-1995.
 
Beliau kemudiannya menjadi Ketua Operasi Pusat Simulator Pesawat Pejuang di TUDM Butterworth daripada 1995-1997 dan seterusnya menjadi Pegawai Memerintah Pusat Simulator Pesawat Pejuang daripada 1999-2001.
 
Pada 2007 sehingga persaraannya 2011 Emilia telah ditugaskan sebagai juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera Haigate Kuala Lumpur.
 
Kejayaan Emilia dalam kerjaya sebagai pegawai TUDM dan juruterbang terbukti dengan pencapaian yang cemerlang. Bermula dengan pangkat leftenan, Emilia dinaikkan pangkat sejajar dengan kemampuan yang ditunjukkan sehingga dinaikkan ke pangkat leftenan kolonel sebelum bersara pada Disember 2011 setelah 25 tahun menabur bakti dalam dunia ketenteraan.
 
Anak jati kelahiran Selangor itu juga pernah memegang jawatan penting di Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai salah seorang pengarah selepas bersara dari TUDM.
 
Walaupun Emilia kini tidak lagi di dalam TUDM namanya akan tetap menjadi bualan dalam kalangan masyarakat sekali gus menjadi sumber inspirasi buat wanita menceburi bidang yang mencabar. 

No comments:

Post a Comment