Sunday, 3 June 2018

BERHUTANG UNTUK PERSIAPAN HARI RAYA

Umat Islam digalakkan membuat persiapan menyambut 1 Syawal sebagai tanda merayakan kejayaan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan. Bagaimanapun, tuntutan agama itu dalam skop sederhana dan tidak membebankan. Islam melarang perbaziran dan perbuatan keterlaluan. Jangan sampai berhutang semata-mata untuk persiapan hari raya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu menggenggam (terlalu kedekut dan tidak mahu bersedekah) dan jangan terlalu memberi sehabis-habisnya, nanti engkau jadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra, ayat 29).

Perbuatan sanggup berhabis semata-mata untuk persiapan 1 Syawal tidak mencerminkan kejayaan latihan Ramadan. Sikap membazir menggambarkan sikap menurut hawa nafsu. Ini membuktikan puasa yang dilakukan sebulan masih belum menundukkan hawa nafsu. Sekaligus sifat itu menunjukkan banyak kekurangan wujud dalam ibadat puasa.

Persiapan menyambut 1 Syawal memadai untuk membezakan atau menunjukkan ia berbeza berbanding hari-hari biasa. Antara amalan yang patut dilakukan pada 1 Syawal ialah ziarah, memakai pakaian paling cantik dimiliki, memakai wangian, menyediakan makanan untuk tetamu, mengembirakan anak yatim dan bersedekah.

Pakaian paling cantik bukan semestinya baru. Pakaian lama yang masih cantik sebenarnya masih dianggap baru. Jadi, kalau sudah ada pakaian cantik atau masih cantik, tidak perlu buat atau beli yang baru. Semangat memakai pakaian sedondong atau tema dalam keluarga punca mengapa terpaksa membuat baju.

Sesungguhnya sesiapa mempunyai kemampuan untuk membantu orang lain yang memerlukan bantuan, maka wajib baginya menghulurkan bantuan itu. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra, ayat 26 bermaksud: “Dan berilah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing.”

Ironinya dalam masyarakat kita persiapan bukan setakat itu saja. Mereka sanggup berhabis dengan membeli perabot baru, langsir baru, mengecat rumah, kereta baru dan pelbagai perkara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri. 

Bagi golongan kaya semua itu tidak membebankan. Malangnya ada juga yang kurang berkemampuan turut terikut-ikut dengan gaya orang kaya. Mereka sanggup berhutang, bergadai atau melakukan perbuatan terkutuk demi untuk mendapatkan sumber kewangan membuat persiapan hari raya.

Ada pekerja sanggup menerima rasuah atau menipu semata-mata untuk mendapat duit raya. Ini sama sekali bertentangan dengan kehendak Islam. Hari raya merupakan tanda kesyukuran dan mengabdikan kepada Tuhan. Sekiranya melakukan perkara bertentangan dengan Islam, maka jauh terpesong daripada tujuan sebenar menyambut 1 Syawal.

No comments:

Post a Comment