Friday, 25 October 2019

CARA PILIH NAMA ANAK


Pemilihan nama anak perlu dilakukan dengan teliti agar tidak timbul masalah kepada anak yang menggunakan nama itu dari kecil hingga ke akhir hayat. Bahkan, nama itu juga akan digunakan atau dipanggil semasa di akhirat nanti. 

Justeru, ibu bapa perlu peka ketika memilih nama anak agar tidak membawa makna yang buruk dan keji, biarpun sebutan dalam Bahasa Melayu sedap didengar. Sebenarnya pemilihan nama anak yang sesuai menjadi lambang hadiah terawal dan bermakna ibu bapa kepada anak yang baru dilahirkan.  

Islam menetapkan agar ibu bapa menamakan anak dengan nama bermaksud baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh sebab itu, pemilihan nama anak tidak boleh dipandang remeh dan ikut suka-suka saja seperti memilih nama panjang, pelik dan beragam sebutan sehingga dianggap melanggar suruhan agama dan budaya.

Pada zaman Rasulullah SAW, ramai sahabat mempunyai nama tidak elok maknanya atau tidak sesuai digunakan yang diwarisi pada zaman Jahiliyah.

Justeru Rasulullah SAW telah mengubah nama-nama yang membawa pengertian buruk seperti mengubah nama Ashiyah menjadi Jamilah (cantik atau indah), Hasran (rungsing dan kecewa) menjadi Zarah (subur), Uham menjadi Basyir (menyampai berita gembira).

Pertukaran nama boleh dilakukan dengan mudah pada zaman dahulu sedangkan sekarang tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia tidak melibatkan rekod dan kesan undang-undang.

Oleh sebab itu, untuk mengelak tersilap memilih nama buruk dan sukar menukarnya, buatlah pilihan tepat biarpun terpaksa mengambil masa lama memilihnya.

Bilakah masa sesuai patut diberikan nama kepada anak? Ada pendapat mengatakan anak patut dinamakan sebaik selepas kelahirannya berdasarkan kepada riwayat mengatakan Rasulullah SAW menamakan anak Abu Usaid pada hari kelahiran bayi itu.

Pendapat lain pula mengatakan nama bayi perlu diberikan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Pendapat ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut setiap anak bergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuh kelahirannnya dan dinamakan serta dicukurkan kepalanya.

No comments:

Post a Comment