Sunday, 20 June 2021

UMNO desak kerajaan hormati titah Agong

KUALA LUMPUR, 21 Jun – UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik COVID-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal Sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.

“Kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya. – UMNO Online

No comments:

Post a Comment