Tuesday, 6 July 2021

GURU MELAKSANAKAN TUGAS DAKWAH

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, difinisi dakwah ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu keper­cayaan. 

Dalam konteks Islam, dakwah ialah menyeru, mengajar dan menyakinkan manusia mengenai kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muahammad SAW. Tugas dakwah perlu dilakukan setiap muslim mengikut kemampuan masing-masing. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sampaikan daripadaku walaupun hanya satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ahmad).

Proses pendidikan adalah sebahagian daripada dakwah. Maka guru adalah sebahagian daripada mereka yang menjalankan dakwah. 

Hari ini tugas guru semakin mencabar kerana bukan saja perlu mengajar matapelajaran akademik semata-mata, tetapi juga berperanan membina modal insan mengikut acuan yang dikehendaki oleh agama dan matlamat negara. 

Umat Islam kini terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah termasuk hiburan keterlaluan atau hedonisme, seks bebas dan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). 

Amalan itu semakin mengancam hidup umat Islam apabila terpangaruh dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Barat. 

Perbuatan itu bukan sahaja menggugat kemurnian dan kesucian Islam, malah sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Mereka telah melakukan perbuatan luar tabie yang ditentang oleh semua manusia normal. 

Peranan guru sebagai pendakwah serta kepentingan sistem pendidikan dalam usaha meningkatkan kewibawaan dan menjamin survival umat Islam. 

Peranan ini bukan mudah kerana dalam menjalankan tugas tersebut guru berdepan dengan pelbagai rintangan. Paling dibimbangi apabila di kalangan guru sendiri tidak sempurna peribadinya sepertinya pepatah, guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.

Aspek pendidikan merupakan perkara utama dalam Islam. Hal ini dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Untuk melihat perkara ini dengan jelas, makalah ini akan mengemukakan dali-dalil naqli yang membuktikan keprihatinan Islam terhadap aspek pendidikan.

Dalil naqli ini adalah perkara yang mesti diterima kebenarannya dan dijadikan pegangan dalam hidup. 

Pendidikan adalah proses berterusan yang bermula dari kanak-kanak sehinggalah ke akhir hayat. Proses ini tidak terhenti kerana dunia keilmuan amat luas yang tidak ada penghujungnya.

No comments:

Post a Comment