Wednesday 18 August 2021

SYARIAH JALAN LURUS BIMBING KEHIDUPAN

Terminologi syariah atau syariat yang biasa diungkap dalam Bahasa Malaysia sebenarnya berasal daripada Bahasa Arab.

Secara literalnya perkataan syariah membawa dua maksud yang berbeza tetapi mempunyai kefahaman yang saling berkait di antara satu sama lain.

Pertamanya, ia membawa maksud sumber air dan keduanya bererti pembawaan atau jalan yang jelas dan lurus. Ia diasaskan kepada kebiasaan ungkapan orang Arab.

Manakala pengertian yang kedua merujuk kepada maksud ayat ke 18 dalam Surah al-Jathiyah: "Kesudahannya, Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariah (yang cukup lurus dan lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah syariah itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang- orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). "

Dari segi istilah, syariah membawa maksud segala hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya melalui perantaraan para Rasul-Nya.

Dinamakan hukum-hakam ini dengan syariah kerana ianya adalah lurus tanpa ada kepalsuan dari jalan yang benar.

Syariah juga membawa pengertian mengenai segala perintah Allah ke atas hamba-Nya yang terdiri daripada seluruh hukum-hakam yang diperturunkan melalui para Rasul-Nya sama ada perintah tersebut berkaitan dengan perbuatan amali atau iktikadi.

Syariah juga membawa maksud "al-din" (pergantungan) dan juga "al- millah" (kecenderungan).

Perkataan syariah dan pecahannya disebut di dalam al-Quran sebanyak empat kali.

Menurut huraian para ulama dan sarjana Islam, perkataan syariah yang terdapat dalam al-Quran itu mempunyai dua makna iaitu pengertian yang khusus dan pengertian yang umum.

Bagi pengertian yang khusus, syariah dimaksudkan dengan segala hukum yang telah diperundangkan oleh Allah SWT untuk mengatur segenap aspek kehidupan manusia.

Manakala bagi pengertian yang umum pula, syariah diertikan sebagai Din atau millah yang juga bermaksud agama. Lantaran itu, ia juga merujuk kepada mana-mana sistem hidup sama ada yang digubal oleh manusia atau yang diwahyukan dari langit.

Berdasarkan huraian di atas dapat difahami bahawa syariah ialah segala perintah Allah SWT dalam bentuk hukum atau peraturan yang bersifat menyeluruh dan sangat luas bidangkuasanya.

la merangkumi seluruh titah perintah dan ketentuan Allah yang diwahyukan sama ada yang ditegaskan di dalam al-Quran ataupun yang berasaskan kepada al-Sunnah. 

No comments:

Post a Comment