Monday 23 August 2021

CABARAN MENJAYAKAN DASAR BUKU NEGARA

Dasar Buku Negara yang diperkenalkan pada 1985 bagi menggariskan pendekatan menyeluruh membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat di negara ini perlu dinilai semula.

Perkara berkenaan perlu dilakukan supaya dasar itu dapat dimantapkan, selaras dengan tahap literasi masyarakat Malaysia yang sudah meningkat ketika ini.

Kadar literasi rakyat Malaysia secara umumnya sudah menjangkau 94.64 peratus berdasarkan laporan yang dikeluarkan badan antarabangsa.

Laporan ‘Adult and Youth Literacy : National Regional and Global Trends 1985-2015’ yang diterbitkan oleh UNESCO Institute for Statistic (UIS) mengklasifikasikan peratusan itu terhadap literasi dalam kalangan rakyat berumur 15 tahun ke atas di Malaysia.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ketika ini berusaha untuk meningkatkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Secara purata, setiap penduduk di Malaysia hanya membaca sebanyak 15 buah buku setahun berdasarkan kajian interim tabiat membaca yang PNM lakukan pada 2014.

Jadi perkara yang perlu dipentingkan sekarang adalah untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang mempunyai budaya membaca yang lebih tinggi,” katanya.

Data itu menunjukkan Malaysia berada dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai kadar literasi tinggi walaupun ia masih berada di belakang negara maju seperti Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Jerman mencatatkan kadar literasi 99 peratus. 

Kadar literasi rakyat Malaysia tidak signifikan dengan amalan dan tabiat membaca kerana ia masih rendah dan rakyat hanya membaca bahan terpilih saja.  

Usaha mengembangkan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini mesti dilihat sebagai satu agenda nasional bersepadu dengan proses pembinaan negara, bangsa dan pembangunan modal insan bukannya menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran semata-mata.

Industri penerbitan buku tempatan disaran mengangkat pengkaryaan ke tahap lebih tinggi dengan menggunakan kreativiti dan inovatif. Ini dapat dilakukan jika pelabur baharu dalam perusahaan buku, terutama penerbitan, meneroka pasaran baharu di luar negara khususnya penerbitan buku remaja dan kanak-kanak.  

Selepas 36 tahun dilaksanakan dan pelbagai perubahan berlaku dalam bidang pendidikan, memang sudah tiba waktunya Dasar Buku Negara dinilai semula.

Dasar itu tentunya memerlukan suntikan baharu selaras dengan kehadiran teknologi maklumat yang terlalu pantas kini, bagi memastikan matlamat untuk membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat mengikut tuntutan semasa. 

Pola pembacaan masyarakat masih terikat kepada bahan bacaan hiburan, gosip dan politik murahan yang tidak membawa kepada perubahan minda.

Justeru, kita berharap kerajaan dapat merangka pelan baharu lebih menyeluruh supaya perubahan Dasar Buku Negara dapat memberi impak kepada perkembangan minda masyarakat.

Ini penting bagi membolehkan budaya membaca terus meningkat di kalangan masyarakat, di tengah-tengah revolusi ICT terutama cabaran digital sekarang yang menyebabkan ramai tidak mempedulikan buku lagi.

Kajian juga mendapati budaya membaca masyarakat Barat yang selama ini menjadi kebanggaan mereka semakin merosot terutama di kalangan generasi muda yang terdedah kepada ICT.

Jika masyarakat Barat yang ketagih dengan bahan bacaan boleh bimbang terhadap budaya membaca generasi mudanya, masyarakat kita langsung tidak memberi perhatian kepada budaya membaca apalagi menyediakan perpustakaan di rumah.

Kecenderungan sebahagian kita menawarkan apa saja bahan bacaan yang diminati masyarakat terutama hal-hal picisan dan tidak membangunkan minda turut dikesali. 

Kita sepatutnya mengubah sikap sedemikian bukan mengambil kesempatan menambahkan lagi rasa tidak peduli masyarakat terhadap bahan bacaan bermutu.

Memang sukar untuk mengubah minda masyarakat supaya menjadikan membaca buku satu budaya, terutama melawan pengaruh media maya dan media hiburan yang boleh mengalihkan tumpuan daripada buku.

Namun, ia tidak harus mematikan semangat kita untuk terus mencari pendekatan terbaik mengubah minda masyarakat supaya menjadi penggemar buku dan penilaian ke atas Dasar Buku Negara adalah permulaan ke arah itu. 

No comments:

Post a Comment