Sunday, 24 October 2021

SK POS BROOKE SEKOLAH ORANG ASLI

Sekolah Kebangsaan Pos Brooke (SK Pos Brooke), Jajahan Kecil Lojing, Kelantan merupakan sekolah dikhususkan kepada pelajar Orang Ali yang mendiami kawasan tersebut. SK Pos Brooke dianggap sekolah paling jauh dari mana-mana bandar atau pekan di Kelantan.

Jarak Sk Pos Brooke dengan bandar Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan kira-kira 270 kilometer. Bandar terdekat di Kelantan dengan SK Pos Brooke ialah Gua Musang, terletak kira-kira 87 kilometer.

Itulah masalah besar yang perlu dihadapi oleh guru yang bertugas di SK Pos Brooke pada masa dahulu. Sebarang urusan dengan Pejabat Pelajaran Daerah terletak di bandar Gua Musang memerlukan mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak dan perlu merentas beberapa batang sungai.

Namun, itu hanya telah menjadi sejarah. SK Pos Brooke kini mudah dihubungi dengan jalan Gua Musang – Tanah Tinggi Lojing telah berturap sepenuhnya. Bahkan, kedudukannya betul-betul di tepi jalan utama tersebut.

SK Pos Broke yang menempatkan pelajar Orang Asli dari suku kaum Temiar itu biarpun berada jauh di pedalaman, namun keadaan fizikal sekolah dan kemudahan yang dinikmati adalah setaraf dengan sekolah-sekolah lain.

Jika melihat gambar-gambar di bangunan, keadaan kelas dan kemudahan lain yang berada di SK Pos Brooke, pasti banyak orang tidak menyangka ia sebuah sekolah yang terletak jauh di pedalaman.

SK Pos Brooke berjaya mengubah taraf pendidikan masyarakat Orang Asli di kawasan Tanah Tinggi Lojing dan kawasan sekitarnya. Banyak bekas pelajar SK Pos Brooke telah berjaya melanjutkan pelajaran di tahap lebih tinggi.

Hasil pendidikan yang diterima, mereka berjaya mengubah kehidupan selari dengan kemajuan negara. Mendapat lebih banyak peluang pekerjaan di sektor kerajaan mahupun swasta.

Pendidikan adalah hak semua kanak-kanak. Justeru, kerajaan memberi peluang pendidikan sama rata kepada seluruh kanak-kanak tanpa mengira kaum dan di mana tempat tinggal mereka. 

 

No comments:

Post a Comment