Sunday, 17 April 2022

RAMADAN DISAMBUT SEBAGAI RITUAL

 
Mengikut Kamus Dewan, perkataan ritual bermaksud tatacara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir dari satu kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasan. Maka, ibadat itu tidak diterima oleh Allah sebagai satu ibadat.

Setiap amalan bergantung kepada niatnya. Sekiranya seseorang melakukan sesuatu atas dasar ia satu kebiasaan dalam masyarakatnya, maka dia telah memberi sumbangan kepada masyarakatnya. Sedangkan, amalan itu tidak pula dinilai oleh Allah SWT sebagai ibadat, biarpun ia berbentuk ibadat. 

Secara konsepnya, seseorang terdorong melakukan amalan ritual disebabkan ia sudah diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan. Setiap tahun kita menyambut Ramadan. Semua orang Islam tidak terkecuali melakukan amalan-amalan berkaitan Ramadan, selain berpuasa.

Malah, amalan ritual disambut dengan perasaan gembira dan semangat yang berkobar-kobar untuk mengisinya dengan amalan yang biasa dilakukan. Ramadan dijadikan bulan pesta dan meriah dengan aktiviti ritual.  

Disebabkan ramai berpuasa atas konsep ritual, maka kita dapat melihat berbagai-bagai ragam orang berpuasa. Pada bulan Ramadan nampak ketara perubahan cara hidup dari segi cara pakaian, aktiviti harian, penyediaan makanan dan aktiviti sampingan lain. 

Amalan diasaskan kepada ritual biasanya kelihatan hebat secara luaran. Semua orang menjadikan puasa sebagai alasan untuk melakukan sesuatu. Dalam keghairahan itu, terdapat amalan bertentangan dengan ajaran Islam yang diselitkan sama untuk kelihatan lebih meriah. 

Contohnya bermain mercun dan meriam buluh dijadikan amalan sepanjang bulan Ramadan dan lebih-lebih lagi apabila semakin hampir dengan Aidilfitri. Golongan yang berpegang kepada konsep berpuasa ritual beranggapan tanpa mercun dan meriam buluh tidak akan meriah sambutan Ramadan.

Sesuatu berkaitan ritual biasanya dilakukan secara bersungguh-sungguh. Setiap perbuatan ritual dilakukan untuk kepuasan diri dan memenuhi kehendak orang berada di sekeliling. Soal keimanan dan ketakwaan tidak wujud dalam amalan ritual, walaupun disebut itulah tanda keimanan. Orang jahil menyambut Ramadan nampak lebih hebat. Mereka lebih ke hadapan merancang itu dan ini sempena bulan Ramadan.   

Sebab itu, kita melihat orang menyambut kedatangan Ramadan dengan meriah. Pada bulan Ramadan menjadi pesta makanan. Bulan yang sepatutnya orang mengurangkan nafsu makan, bertukar kepada nafsu gelojoh inginkan kepada pelbagai jenis makanan. Bazar Ramadan diadakan di serata tempat bagi memenuhi permintaan ramai. 

Banyak jenis makanan yang tidak diperoleh pada masa biasa, menjadi kegilaan pada bulan Ramadan. Ada yang sanggup memandu jauh semata-mata untuk mendapat makanan tertentu pada sebagai hidangan berbuka. Semuanya atas sebab ritual setiap menyambut Ramadan. 

Akibat terlalu ritual, sikap membazir menyediakan makanan begitu ketara dan timbul pula sikap angkuh. Apa sahaja yang terasa ingin dimakan, disediakan biarpun telah banyak jenis. Akhirnya makanan dan minuman yang disediakan tidak habis dimakan, terpaksa dibuang begitu sahaja. Nafsu makan tidak dapat diteruskan apabila perut sudah terlalu kenyang.

Sikap membazir bertentangan dengan konsep mendidik individu agar menjauhi pembaziran dan insaf nasib yang menimpa orang fakir dan miskin. Nafsu dikelirukan oleh syaitan yang memperlihatkan kebaikan di sebalik perbuatan yang buruk. 

Jelaslah, amalan puasa yang dilakukan berkonsepkan ritual tidak menjadi sebahagian tarbiah rohiyyah. Sebaliknya, tanpa disedari banyak perbuatan ditegah dilakukan atas alasan berpuasa. Kita merasakan betapa banyak telah melakukan kebajikan, sedangkan hakikatnya adalah kosong belaka.  

No comments:

Post a Comment