Sekiranya dipanjangkan umur, kita semua
akan menempuh alam usia tua. Ketika itu kita akan mengalami seperti mana apa
yang dialami oleh golongan tua yang kita lihat sekarang.
Golongan tua mengalami banyak perubahan
berbanding usia muda. Perubahan itu meliputi berkaitan fizikal dan minda
berubah seperti penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit
menjadi berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling ketara ada yang menjadi
nyanyuk.
Sebenarnya tidak ada umur khusus meletakkan
seseorang telah memasuki usia tua. Bagaimanapun, dalam masyarakat kita biasanya
usia tua merujuk kepada individu yang telah mencapai usia 50 tahun dan ke atas.
Ada juga orang mengaku sudah tua hanya setelah pencen daripada pekerjaan yang
lazim pada usia 60 tahun. Tetapi tidak kurang juga yang tidak pernah merasakan
dirinya tua!
Namun apa yang pasti ialah golongan tua
banyak berjasa kepada golongan muda. Jika tiada golongan tua, sudah pasti tidak
mungkin ada golongan muda. Manakala apa yang kita nikmati sekarang ini adalah
hasil usaha pengorbanan yang telah dilakukan golongan tua.
Contohnya pergorbanan golongan tua yang
berusaha menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Lepas itu mereka
berusaha keras pula untuk membangunkan negara sehingga mencapai apa yang kita
nikmati sekarang ini.
Dalam ajaran Islam, golongan tua mesti
dihormati. Suruhan menghormati orang tua bukan sekadar kepada ibu
bapa kita sahaja. Semua orang tua perlu dihormati sepertimana kita menghormati
ibu bapa.
Lebih-lebih lagi jika orang tua itu adalah
rakan kepada ibu bapa kita. Rasulullah menyuruh agar kita meneruskan
silatulrahim dengan rakan-rakan ibu bapa kita biarpun ibu atau bapa kita telah
meninggal dunia.
Maksud menghormati dan menghargai golongan
tua ialah mereka diutamakan, dikasihi dan diberi kemudahan untuk menikmati
kehidupan usia tua dengan selesa, terjamin, selamat dan mengembirakan.
Dalam masyarakat kita sememangnya sentiasa
memberi layanan baik kepada golongan tua. Sebagai satu gambaran penghormatan
yang perlu diberikan kepada golongan tua ialah golongan tersebut digelar
sebagai warga emas. Semua orang ingin dan sayang kepada emas, dan begitulah
yang sepatutnya penghormatan yang diberikan kepada warga emas.
Memandangkan golongan tua berada dalam
serba kekurangan dalam segi kekuatan fizikal dan kebanyakannya mungkin juga
mental, mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan hidup alam tua
dengan seadanya. Sesungguhnya, dalam hal ini perhatian dan sokongan daripada
anak dan ahli keluarga amat diperlukan.
Keadaan ketika usia telah lanjut dinyatakan
dalam surah al-Hajj, ayat 5 bermaksud: “Dan (dalam pada) itu ada di antara kamu
yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umur ke
peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi mengenai sesuatu
yang sudah diketahui dahulu.”
Sebenarnya menghormati golongan tua bukan
suatu amalan yang asing bagi kita. Sebahagian daripada ahli keluarga kita
adalah termasuk golongan tua. Dalam setiap keluarga tentu ada golongan tua
seperti bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara.
Dengan kata lain, menghormati golongan tua,
tidak kira apa hubungan persaudaraan mereka dengan kita adalah sebahagian
tanggungjawab menghormati bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara
sendiri.
Jika difikirkan, menghormati golongan tua
bukanlah satu bebanan yang berat untuk ditunaikan. Mereka bukannya meminta
dilebihkan dalam layanan dan penghormatan. Golongan tua sememangnya menyedari
bahawa zaman mereka sudah berlalu. Tidak ada apa lagi yang hendak direbut
melainkan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan selesa.
Sebenarnya rata-rata golongan tua merasa
sudah memadai jika mereka dilayan secara sederhana. Cukuplah sekadar mereka
diberi keistimewaan dalam hal-hal tertentu bagi membolehkan hidup selesa dan
selamat. Apa yang penting ialah mereka tidak disisih dan dihina disebabkan usia
tua.
Ramai merasai rungsing apabila memikirkan
keadaan hidup menghadapi usia tua. Disebabkan wujud fenomena itu banyak
golongan tua mengalami kehidupan usia tua dengan keadaan suram.
Kerungsingan ini berasas memandangkan kes
anak melayan ibu seperti orang gaji semakin meningkat. Banyak ibu bapa dihantar
oleh anak mereka ke rumah kebajikan, dan banyak juga orang tuan yang hidup
merepat di jalanan.
No comments:
Post a Comment