Monday, 17 April 2023

CARA ELAK PERPECAHAN DALAM MASYARAKAT

 
Hidup dalam masyarakat memang mudah terdedah kepada selisih faham, keretakan hubungan dan perpecahan yang biasanya berpunca daripada perkara kecil seperti pergaduhan anak-anak, binatang ternakan dilepas berkeliaran, sifat dengki, umpat, tuduh menuduh dan perbezaan taraf hidup.
 
Namun jika tidak diatasi secara bijak, permulaan kecil itu boleh berlarutan menjadi perbalahan besar dan ada yang berterusan ke akhir hayat. Hal ini perlu mendapat perhatian semua pihak untuk mengatasinya. Jangan pandang mudah perkara yang boleh memecah belahkan masyarakat.  
 
Hidup bermasyarakat umpama keluarga besar yang mana semua ahli keluarga perlu berperanan menjamin keutuhan semangat kekeluargaan, mengelak perasaan marah, saling bermaafan dan mementingkan semangat tolong menolong sebagai sendi kehidupan yang membawa kesejahteraan.   
 
Masalah kecil dapat diselesaikan dengan mudah jika dapat menahan perasaan marah dan mudah memaafkan di antara satu sama lain. Kedua-dua sifat itu tanda keimanan yang mana Allah mencintai sesiapa berbuat kebaikan serta menghalang daripada berlaku kejadian tidak baik. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” - (Surah Ali Imran, ayat 134).
 
Amalan permusuhan dan perpecahan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada pihak yang terlibat. Semakin lama permusuhan berlangsung, lebih banyak kerugian dan penderitaan terpaksa ditanggung. 
 
Allah memberikan nikmat kebahagiaan hidup melalui ikatan persaudaraan yang baik. Perkara ini berlaku sekiranya kita berpegang kepada cara hidup yang ditetapkan oleh Allah.
 
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali (agama) Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah dahulu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, lantas Allah menjinakkan hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara.”.
 
Perselisihan dan bercerai berai sesama Islam akan menyebabkan kekuatan umat Islam lemah yang membawa kerugian sesama sendiri sehingga berlarutan kejadian pembunuhan dan kemusnahan harta yang banyak. Keadaan sedemikian memudahkan musuh Islam mengambil kesempatan untuk memusnahkan umat Islam. 
         
Sebarang masalah perlu diatasi dengan muafakat dan bersabar bagi mengelak daripada hilang terus kekuatan yang sudah terbina sebelum ini. Perbuatan saling menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan semakin kusut dan tiada titik penyelesaian.  
 
Firman Allah bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu suka berselisih faham kerana ia akan menyebabkan perpaduan dan kekuatan kamu hilang dan hendaklah kamu bersabar. Sesungguhnya Allah berserta orang yang bersabar.” - (Surah al-Anfal, ayat 46).

No comments:

Post a Comment