Seluruh bangsa Melayu perlu sedar akan
kepentingan bangsanya dan masa depan anak cucunya terjamin di Malaysia. Tiada
ertinya ada kelompok Melayu mendapat kuasa dan kemewahan, sedangkan majoriti
nasib bangsanya menjadi lebih buruk. Kekayaan negara ini bukan untuk satu
kelompok Melayu sahaja, tetapi seluruhnya bangsa Melayu, termasuk kaum lain
dikongsi bersama.
Tidak patut timbul isu rasis apabila Melayu
memperjuangkan kepentingan bangsa sendiri. Itu perkara semula jadi. Bangsa lain
juga memperjuangkan kepentingan kaum mereka. Selagi perkara itu tidak
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka perkara itu tidak boleh
ditegah atau dihalang. Tidak perlu timbul perasaan tidak puas hati dan
prejudis.
Bangsa Melayu perlu duduk berbincang untuk
mencari formula terbaik menjadikan bangsa Melayu lebih berdaulat. Perkara ini
pernah dilakukan pada 1946 ketika kuasa raja-raja Melayu ingin dirampas
sepenuhya. Kesatuan bangsa Melayu ketika itu telah menyelamatkan bangsa
daripada jatuh ke dalam perangkap musuh.
Mana-mana persetujuan atau keputusan
perbincangan yang berkaitan mempertahankan ketuanan Melayu adalah sesuatu yang
perlu disambut dengan semangat baharu dan komitmen yang lebih jitu.
Ketuanan dan kedaulatan adalah sesuatu yang
sangat berkait kerana bangsa yang berdaulat jika hendaklah benar-benar menjadi
tuan di negaranya sendiri. Walaupun ada pihak termasuk orang Melayu sendiri
kebelakangan ini mempersendakan makna ketuanan Melayu, ternyata banyak pihak yang
masih jahil dan bebal dengan mentafsirkan ketuanan itu dengan mengandaikan
Melayu ingin menjadi golongan yang angkuh sebagai tuan dan orang lain sebagai
hamba.
Perumpamaan sempit ini seolah-olah
menyamakan sikap angkuh orang kaya dengan miskin atau majikan dengan 'kuli'
mereka. Amat sedih apabila ada di kalangan orang Melayu sendiri yang mempunyai
pemikiran sempit sedemikian.
Justeru perhimpunan Melayu hendaklah serius
mencari formula bagaimana bangsa Melayu terus diperkasa supaya ketuanan dan
kedaulatan yang dimaksudkan sebenar dapat dicapai dan dilaksanakan dengan
segera.
Ketuanan bererti menguasai segala aspek
termasuk pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan keselamatan bangsa. Namun
begitu, segala tindakan tersebut adalah bersandarkan realiti bahawa Melayu di
Malaysia perlu hidup aman dan harmoni dengan kaum-kaum lain iaitu
kepentingan-kepentingan kaum mereka juga terpelihara.
Dalam hal ini, Melayu telah membuktikan
kehebatannya menerajui sebuah negara yang berbilang kaum dengan nilai toleransi
yang cukup besar terutama selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Oleh itu, bangsa Melayu juga harus
meyakinkan kaum lain bahawa kaum lain juga telah menikmati pelbagai faedah dan
keuntungan yang berlipat kali ganda apabila hak-hak keistimewaan Melayu itu
dilaksanakan.
Mungkin boleh difikirkan secara serius
sebuah platform gabungan NGO yang menjadi majlis pemuafakatan dan hal ehwal
kepentingan Melayu. Majlis ini berperanan untuk menjadi badan pemantau dan
pendesak yang menjaga kepentingan, pengimbang dan penilai prestasi serta
pencapaian orang Melayu.
Penglibatan institusi raja-raja Melayu,
pemimpin politik pelbagai aliran dan tokoh-tokoh Melayu yang seimbang usia dan
pemikiran mereka hendaklah disatukan dan dimanfaatkan.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment