Thursday, 27 February 2025

KUATKAN JATI DIRI HADAPI SERANGAN PEMIKIRAN

 
Kuatkan jati diri hadapi serangan pemikiran. Sejak berkurun lamanya, ummah dihentam dengan serangan pemikiran yang bertalu-talu. Antara usaha dilakukan musuh Islam ialah mensekularkan Malaysia melalui golongan ilmuan dan pemimpin Islam sendiri.
 
Antara perangkap paling berkesan dilakukan musuh-musuh Islam ialah melakukan sesuatu bentu serangan yang tidak disedari. Untuk itu, pihak yang sedar perkara itu perlu segera mendedahkan hal-hal berkaitan untuk mengingatkan seluruh umat Islam agar tidak terperangkap dengan serangan pemikiran itu.  
 
Penyebaran mengenai serangan pemikiran ini perlu dijelaskan melalui penulisan, ceramah, kelas dan seumpamanya. Apa yang penting, maklumat mengenai serangan pemikiran ini difahami oleh orang Islam agar mereka dapat membezakan antara yang benar dan salah.
 
Sesungguhnya, dalam keadaan sekarang, banyak umat Islam keliru dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka yang melibatkan ilmuan dan pemimpin Islam, sehingga terikut-ikut dengan perancangan serangan pemikiran pihak musuh.
 
Sebarang bentuk serangan pemikiran perlu dipatahkan dengan bijaksakna dan tepat. Jika mereka menggunakan hujah dalam bentuk keilmuan, maka wajar juga perkara itu diperbetulkan dengan dalil-dalil keilmuan.
 
Inilah perlunya kita mempunyai ilmuan dan pemimpin yang lebih hebat atau sekurang-kurangnya setanding dengan kumpulan yang mencipta dan melakukan serangan pemikiran itu. 
 
Antara kelemahan utama umat Islam adalah gagal mempertahankan pendirian dan mudah masuk perangkap, menyebabkan mereka kalah dalam pelbagai aspek. Kelemahan penyataan idea atau perasaan (artikulasi) dan penghujahan menyebabkan apa yang ingin disampaikan terbantut.
 
Sebaliknya, apa yang lebih kelihatan ialah sikap panas baram, tidak bijak berhujah, sikap ekstrem, mudah hilang pertimbangan dan kata-kata rasa kecewa yang lebih dikaitkan dengan orang Islam.
 
Atas sebab itu, umat Islam mesti diajar membuat perbandingan dan kritikal, membahas satu-satu isu dengan bijaksana dan keyakinan, bukan terikut-ikut dan tunduk kepada pihak lain.
 
Kefahaman terhadap “kenapa” dan “mengapa” perlu ditanam betul-betul dalam minda dan jati diri, agar setiap hujah disampaikan dan dipertahankan dengan fakta yang jelas berdasarkan kepada tuntutan agama dan keperluan semasa.
 
Untuk itu, umat Islam seharusnya lebih peka dan mendalami mengenai Islam, hak dan keperluan agar tetap yakin dengan apa yang dilakukan. Jangan, biarkan bukan Islam yang menentukan atau merencanakan sesuatu untuk umat Islam.
 
Sudah tentu biarpun yang dirancang dan diusahakan itu ada kebaikan, tetapi pada masa yang masa akan terselit racun berbisa untuk memusnahkan Islam. Mereka tentu tidak jujur dan mengambil kesempatan untuk merosakkan umat Islam.
 
Kita boleh hidu bahawa pendirian sebegini juga sebenarnya dipegang oleh sebahagian ilmuan dan pemimpin Islam. Rekod memperlihatkan kebanyakkan serangan pemikiran ini berpusat di barat menyerang umat Islam seluruh dunia.
 
Antara produk yang paling berjaya memanipulasi minda manusia khususnya umat Islam ialah bergaduh sesama sendiri. Masing-masing ditanam di dalam diri bahawa mereka paling baik dan betul, sedangkan pihak lain pula tidak betul.
 
Untuk terus berkuasa, serangan terhadap sesama Islam dilakukan habis-habisan, lebih hebat berbanding serangan terhadap musuh Islam sendiri. Atas alasan mencari kebenaran dan membetulkan pihak yang didakwa salah, mereka berlebih-lebihan menyerang sesama sendiri.

Gambar sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment