Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan
Kumpulan SAKATA Sdn Bhd menandatangani perjanjian bagi cadangan pembangunan
bersama Estet Sungai Bagan, Machang dalam usaha berterusan membawa kemajuan dan
pembaharuan bersama di negeri ini.
Kerjasama diantara dua pihak tersebut melibatkan kos
sebanyak RM6 ratus juta yang dibina di atas tanah berkeluasan 62 ekar yang
terletak di Mukim Labok di Daerah Machang.
Perjanjian berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (HEK)
Kumpulan PKINK, Nik Kamil Amirah Nik Ab Rahman dengan Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan SAKATA Sdn Bhd, Dato' Aminuddin Hassan dan Timbalan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan SAKATA Sdn Bhd, Nor Hasima Hassan disamping disaksikan oleh
Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul
Naim, di sini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus
berkata, projek pembangunan ini akan dibina sebuah hospital yang mempunyai 100
katil yang merupakan hospital patuh syariah kedua dibina di negeri ini selepas
hospital wanita dan kanak-kanak An-Nisa' (patuh syariah) yang juga kepunyaan
milik Kumpulan PKINK.
Menurutnya, projek pembangunan ini merupakan konsep baharu
yang dibawa ke negeri ini dan mampu menjadi mercu tanda baharu dalam masa sama
menjadi contoh kepada projek pembangunan yang lain.
"Projek ini akan dibangunkan di Machang kerana
kedudukannya yang strategik dan mampu untuk memberi manfaat kepada rakyat di
Jajahan-jajahan sekitarnya.
"Ini sekali gus akan mewujudkan prasarana kondusif dan
komprehensif serta memberikan nilai tambah kepada sektor perubatan dan rakyat
kerana ianya sesuai dengan kemampuan semua kategori rakyat di negeri ini,"
katanya.
Yang turut hadir, Exco-exco kerajaan negeri Kelantan,
Pengurusan Kumpulan PKINK dan Pengurusan Kumpulan SAKATA Sdn Bhd.
Antara komponen projek fasa 1 yang akan dibangunkan di atas
tanah tersebut adalah hospital patuh syariah, rumah pesara (retirement homes),
rumah kediaman dan bangunan komersial.
Dalam perkembangan berkaitan, Infra Quest Sdn Bhd (IQSB) dan
Ascii Line Sdn Bhd (ALSB) menyumbang RM2 juta kepada kerajaan negeri sebagai
sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan PKINK kepada kerajaan
negeri Kelantan.
Tarikh berita 19 Dis 2018 ( Kota Bharu)

No comments:
Post a Comment