Malaysia secara konsistent dan terancang meletakkan
matlamat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Usaha ini semakin menampak kejayaan apabila
banyak pencapaian memberangsangkan dicapai dalam pendidikan, ekonomi, sains dan
teknologi, perindustrian, sosial dan teknologi maklumat.
Malaysia kini memiliki pasarana kelas pertama
dengan sistem pengakutan moden, lapangan terbang besar, pelabuhan yang mampu
mengendalikan kapal terbesar, perkhidmatan perbankan, takaful, penghasilan
peralatan teknologi moden dan meneroka bidang angkasa lepas.
Sesuatu dasar atau konsep yang diperkenalkan
kerajaan memerlukan sokongan padu daripada rakyat. Inilah resipi kejayaan yang dicapai negara
selama ini. Semua pihak perlu berganding
bahu membangunkan negara, biarpun berlainan ideologi politik.
Mentaati pemerintah adalah sebahagian tuntutan
Islam. Kerajaan tidak dapat menjalan
tanggungjawab dengan baik jika rakyat tidak memberi sokongan terhadap rancangan
dan dasar yang diatur untuk kepentingan semua pihak.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada
‘ulil-amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah an-Nisa,
ayat 59).
Justeru, Islam melarang sebarang tindakan
menyalahi peraturan atau undang-undang ditetapkan pemerintah. Sesiapa menentang
pemerintah samalah ingkar kepada Allah dan Rasulullah. Tindakan sesetengah individu yang tidak
menyokong kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab dengan baik samalah
dengan tindakan meruntuhkan kekuatan Islam.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang taat
kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna
dia derhaka kepada Allah, sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat
kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka
kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).
Sokongan rakyat adalah aset paling penting bagi
menjamin keselamatan negara. Sesiapa
melakukan khianat terhadap negara bukanlah dari kalangan orang beriman, kerana
mencintai negara adalah sebahgian daripada cabang iman.
Setiap rakyat wajib mempertahankan negara mengikut
kemampuan masing-masing. Mempertahankan
negara bukan hanya apabila menjadi tentera dan bertempur di medan perang.
Sebaliknya, mempertahankan negara meliputi segala usaha secara langsung
dan tidak langsung bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keamanan
negara.
Setiap rakyat wajib mentaati pemerintah selagi
tidak diperintahkan melakukan perkara buruk.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat
kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana dia tidak
diperintahkan melakukan maksiat, sekiranya dia diperintah melakukan maksiat,
maka janganlah patuh dan taat.” (Hadis riwayat Bukhari).
Negara amat memerlukan sokongan dan kesetiaan
setiap rakyat, terutama ketika di seluruh dunia sekarang ini menghadapi segala
kemungkinan akibat tindakan pihak memusuhi Islam. Sikap setia dan menyokong kerajaan adalah
sebahagian jihad untuk mempertahankan negara.
No comments:
Post a Comment