Umat Islam perlu merebut peluang kelebihan
memiliki ilmu. Keghairahan dan berahi menuntut ilmu perlu menjadi budaya di
kalangan umat Islam. Dengan kekuatan akal dan ilmu meletakkan
kedudukan seseorang pada tahap lebih baik. Mereka dapat memahami matlamat
hidup dan patuh kepada perintah Maha Pencipta.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat memahami.” (Surah az-Zumar ayat 9).
Seharusnya orang Islam tidak melepaskan
peluang untuk berjihad melalui menuntut ilmu. Satu jihad yang amat penting
dilaksanakan setiap Muslim bagi mengembalikan kedudukan Islam pada tahap
kegemilangan.
Skop dan maksud jihad tidak hanya
apabila berperang menegakkan Islam. Tindakan sesetengah orang menyertai
kumpulan tertentu di luar negara atas alasan berjihad tidak menepati tuntutan
Islam. Tindakan mereka membunuh sesama Islam tidak termasuk dalam erti
jihad.
Adalah lebih mudah kita berjihad
dengan menuntut ilmu. Sedangkan kebaikannya amat besar dan boleh dikongsikan
dengan orang lain. Orang berilmu boleh mengajar dan kongsi ilmu dengan orang
lain. Itu sebahagian amalan yang memberi kebaikan berkekalan biarpun selepas
meninggal dunia.
Jangan kita lepas peluang untuk
mempelajari sesuatu kebaikan. Ia satu jihad yang perlu direbut untuk
dilakukan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (masjid Nabawi) dengan tujuan
mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana orang yang berjihad
di jalan Allah. Dan barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan selain itu,
maka ia laksana orang yang sedang melihat sesuatu yang bukan miliknya.” (Hadis
riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan Ahmad).
Sabda Rasulullah SAW lagi yang
maksudnya: "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah
hingga ia kembali". (Hadis riwayat Tirmizi).
Hari ini kedudukan umat Islam lemah
antara lain berpunca kurang penguasaan ilmu moden. Umat Islam menjadi pengguna
kepada ciptaan bukan Islam. Jadi, sudah tentu apa yang digunakan itu bukan yang
terbaik untuk umat Islam.
Proses mencari ilmu paling mudah
dan berkesan ialah melalui pembacaan kerana ia dapat dilakukan bila-bila masa
dan di mana saja.
Malaikat Jibril ketika menyampaikan
wahyu pertama menyuruh Rasulullah SAW 'membaca' biarpun baginda sebenarnya
tidak boleh membaca.
Perintah itu adalah simbolik untuk
menyatakan betapa pentingnya membaca untuk mendapatkan ilmu. Melalui pembacaan
membolehkan manusia mengetahui apa yang tidak diketahui sebelumnya.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal
darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan
pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).
No comments:
Post a Comment