Tuesday, 9 March 2021

UMNO DAPAT RENTAK TERUSKAN PERJUANGAN

Melihat situasi politik terkini, UMNO perlahan-lahan mula bangkit untuk kembali ke landasan yang betul memperjuangkan Melayu dan Islam. Walaupun imej UMNO sudah tercalar dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ia sekali-kali tidak melunturkan semangat juang sejati pemimpin dan ahli untuk mengangkat kembali imej UMNO.

UMNO sudah mula mendapat keyakinan rakyat sebagai wadah untuk membela Melayu dan Islam. Naratif perjuangan ini semakin diterima rakyat, ketika nasib Melayu dan Islam dilihat sedikit terpinggir.

Perjuangan Melayu-Islam yang menjadi teras agenda UMNO semenjak ditubuhkan kembali dirindui rakyat Malaysia setelah sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan dilihat begitu longgar ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

UMNO dilihat kekal releven dalam perjuangan Melayu-Islam biarpun telah hilang tampuk pemerintahan negara. Biarpun kini UMNO menyertai parti gabungan mentadbir negara, ia dilihat tidak mempunyai keupayaan kerana dikuasai oleh pemimpin bukan UMNO.

Lebih parah, rakan kabinet dalam kerajaan gabungan terdiri mereka yang kurang berpengalaman, tidak sensitif dengan kepentingan rakyat dan lebih banyak berpolitik. Ketika negara mengalami ‘darurat’ yang memerlukan tumpuan seluruh pemimpin negara, ada pula yang bercuti panjang di luar negara.

Ketahuilah wahai orang UMNO dan umat Islam bahawa perjuangan perlu keberanian dan pengorbanan. Inilah harga yang perlu dibayar oleh UMNO demi mempertahankan perjuangan parti dan mendapatkan kepercayaan rakyat semula.

Inilah diterjemahkan oleh pemimpin dan ahli akar umbi apabila mengambil keputusan tidak bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

No comments:

Post a Comment