Bulan
Rejab salah satu 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharam,
Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan haram merupakan bulan mulia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya
bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya
empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama
yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan
yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)."
Sabda
Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari
Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya
ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut:
Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan
Jamadilakhir dan Syaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Imam
Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if
al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan agung dan
mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra dan
Mikraj yang menurut majoriti ulama ia berlaku pada 27 Rejab.
Namun
isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu bulan haram
telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada hadis palsu yang
direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis sebagai hadis mauduk.
Mengagungkan
bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman
Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu
mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan.
Antara
amalan popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila
datangnya bulan Rejab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan
puasa sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya, kini dan dahulu, telah
disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di
bulan Rejab.
Satu
kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus
dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih.
Amalan
tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah
sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya
adalah hadis palsu (maudhuk).
Isu
mencemarkan bulan Rejab dengan janji sumber palsu ini sudahpun wujud sekian
lama. Terdapat ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis
yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad SAW berkaitan kelebihan bulan
Rejab dan amalan khusus padanya.
Antara ulama itu ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab Umar bin Hasan ibn Dihyah
(w.633H) yang mengarang buku bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in
fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang
dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852H)
yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl
Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan
tentang kelebihan Rejab)'.
Ata
seorang ulama tabiin menjelaskan, Nabi Muhammad SAW melarang daripada berpuasa
penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana
yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm.
11).
Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan
penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya
kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan
bulan Rejab.
Tetapi
jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap
puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan
puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan
itu tidak menjadi kesalahan.
Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan
beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika
seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia
khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin
al-'ajab, hlm. 49).
Imam
Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang
bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' : "Telah
berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang
berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang
sahih dan yang palsu."
Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah,
"Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang
kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail
khusus Rejab.
Namun
begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang
menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak
boleh diterima jika ia hadis mauduk."
No comments:
Post a Comment