Jus soli (bahasa Latin bagi
"hak untuk kawasan") atau kewarganegaraan hak
lahir bermaksud hak kerakyatan sama rata iaitu taraf kerakyatan yang
diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Perkataan itu diguna pakai dalam bahasa Melayu sepertimana dijelaskan dalam
Kamus Dewan Edisi Ketiga bermaksud hak mendapat kerakyatan di sesebuah negara
berdasarkan kelahiran negara itu.
Isu kerakyatan mula timbul di
kebanyakan tempat apabila wujud negara yang lebih bersitematik dari segi kuasa
pemerintahan dan kerakyatan. Maka untuk menentukan hak seseorang yang
mendiami sesuatu tempat atau negara, istilah kerakyatan atau kewarganegaraan
menjadi semakin penting.
Selain konsep jus soli, terdapat
negara yang mengamalkan kaedah jus sanguinis (hak darah), yakni kewarganegaraan
berdasarkan kepada status kewarganegaraan bapa atau ibunya.
Di Malaysia (dahulunya Tanah Melayu
dan Malaya) isu jus soli timbul apabila pada tahun 1945 pihak penjajah British
telah memperkenalkan konsep itu untuk memberi kerakyatan kepada warga asing
terutama kaum Cina dan India yang memasuki Tanah Melayu pada masa itu bagi
menyelesaikan masalah kerakyatan yang dihadapi oleh mereka.
Kita menyedari bahawa kaum Cina dan
India adalah orang dagang atau imigran. Kemasukan mereka ke Tanah Melayu
dibawa oleh pihak Inggeris untuk menjadi buruh. Setelah menyedari peluang
pekerjaan yang banyak di Tanah Melayu, kemasukan secara besar-besaran telah
berlaku, Tanah Melayu menjadi lubuk emas bagi imigran Cina dan India.
Bagi kaum Cina, mereka menjadikan
kawasan Asia Tenggara, terutama Tanah Melayu untuk berhijrah kerana pada masa
itu di Benua China berlaku revolusi dan penguasaan fahaman komunis yang antara
lain menekankan aspek kesamarataan di kalangan rakyat. Harta individu menjadi
hak milik negara atau pemerintah.
Hal ini tidak dapat diterima oleh
kebanyakan penduduk China dan mengambil keputusan mencari kehidupan yang lebih
baik dan bebas di negara-negara lain biarpun sekadar sebagai imigran serta
terpaksa menempuh kehidupan yang serba mencabar dan berbeza berbanding di
tempat asal.
Bagaimanapun, sejarah kemasukan
kaum Cina ke Tanah Melayu sebenarnya telah berlaku lebih awal dari tahun
1940an. Sejarah pelombongan timah di Tanah Melayu yang dikuasai oleh kaum Cina
telah berlaku seawal tahun 1850 lagi.
Kemasukan kaum Cina ke Selangor, Negeri Sembilan dan Perak kerana tertarik
dengan hasil timah yang terdapat di negeri-negeri tersebut.
Kemasukan yang tidak terkawal
imigran ke Tanah Melayu menyebabkan jumlah pendatang meningkat secara mendadak
dan melebihi bilangan penduduk Melayu.
Perkara ini menimbulkan keresahan penduduk Melayu yang mendapat sokongan
raja-raja apabila Inggeris memberi kerakyatan secara mudah kepada mana-mana kaum
Cina dan India yang dilahirkan di Tanah Melayu.
Prinsip kerakyatan secara Jus Soli
lebih menguntungkan orang dagang atau imigran kerana mereka dapat memperoleh
kerakyatan dengan mudah di sesuatu tempat.
Menyedari prinsip Jus Soli
mengancam kedudukan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu menolak
prinsip Jus Soli dalam pemberian kerakyatan kepada kaum imigran. Bagaimanapun,
orang Melayu tidak mampu menolak sepenuhnya prinsip Jus Soli.
Pihak Inggeris tidak mahu memberi
kemerdekaan jika soal kerakyatan kepada kaum imigran tidak diselesaikan. Maka,
di sinilah berlaku tolak tarik di antara orang Melayu, Inggeris dan kaum
imigran.
Kaum Melayu mengambil pendekatan
wasattiyah dalam menangani persoalan kerakyatan kaum imigran. Orang Melayu
menerima prinsip Jus Soli tetapi dengan beberapa syarat.
Melalui pembentukan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu telah mengetatkan syarat kerakyatan Jus Soli. Antara
syarat itu adalah;
- Penduduk bukan Melayu mesti
tinggal di Persekutuan Tanah Melayu tidak kurang daripada 10 tahun.
- Kedua-dua ibubapa mereka
mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
- Mereka hendaklah mengaku
taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tempat
tumpah darahnya; dan
- Bermula tahun 1958, mereka
juga perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.
No comments:
Post a Comment