Aktiviti pelancongan memberi sumbangan penting
menjana pendapatan negara. Sektor pengangkutan, perhotelan dan penginapan,
perniagaan makanan dan yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan sama ada secara
langsung dan tidak langsung akan berkembang apabila aktiviti pelancongan di
dalam negara meningkat.
Untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di dalam negara, ia memerlukan sokongan semua pihak yang berkaitan, terutama rakyat Malaysia sendiri perlu menjadi pelancong tempatan atau domestik.
Melancong adalah aktiviti melawat untuk bersenang-senang atau melihat-lihat. Sesungguhnya, melancong bukan hanya aktiviti ke luar negara. Melawat untuk bersenang-senang di tempat atau lokasi di dalam negara juga dikira aktiviti melancong.
Hakikatnya, melancong di dalam negara juga sebahagian daripada aktiviti pelancongan yang menarik. Banyak tempat menarik terdapat di Malaysia yang boleh dijadikan destinasi melancong secara solo, berkeluarga, dengan kawan mahupun rombongan dianjurkan pihak tertentu.
Pelancongan domestik bermakna rakyat melancong di dalam negara sendiri, tidak kira berapa jarak destinasi dituju dengan tempat tinggal dan apa aktiviti yang dilakukan. Berkunjung ke tempat-tempat menarik, melawat saudara mara dan melakukan pelbagai aktiviti yang menarik di dalam negara adalah termasuk pelancongan domestik.
Melancong di dalam negara melibatkan kos kecil jika dibandingkan dengan kos melancong di luar negara. Semua lapisan masyarakat mampu melancong di dalam negara. Dengan hanya beberapa ratus dan tempoh masa yang singkat rakyat boleh melancong di dalam negara.
Sistem berkerja lima hari seminggu memberi peluang cuti dua hari seminggu membuka peluang lebih luas untuk melancong di dalam negara. Selain itu musim cuti sekolah dan musim perayaan adalah masa terbaik untuk bercuti seisi keluarga.
Usaha memajukan pelancongan domestik adalah langkah beriringan bagi majukan pelancongan negara secara keseluruhannya. Pembangunan sesuatu produk pelancongan memerlukan sokongan pelancong domestik untuk lebih bersifat komersal.
Jika mengharapkan kedatangan pelancongan luar negara semata-mata, banyak yang berkaitan dengan industri pelancongan tidak dapat mencapai keuntungan.
Penyertaan rakyat tempatan dalam aktiviti pelancongan memaksimunkan utilitarian setiap produk, perkhidmatan dan ikon yang disediakan. Keadaan ini secara langsung dapat menyemarakkan perkembangan industri pelancongan.
Sebelum ini, pengusaha pelancongan hanya mengharapkan kehadiran pelancong asing yang agak terhad dan lebih mengikut musim tertentu, terutama penduduk dari negara yang mempunyai empat musim. Penduduk di negara itu lebih gemar melancong ketika negara mereka mengalami musim sejuk.
Fenomena kedatangan pelancong secara bermusim ini menyebabkan ada kalanya pengusaha rumah rehat tidak menerima kunjungan pelancong asing sehingga tempoh beberapa bulan. Kos operasi tetap ditanggung oleh pengendali biarpun tanpa pengunjung.
Keadaan itu tentulah menyukarkan pengusaha berkenaan meneruskan perniagaan dan terpaksa mengambil keputusan menutup operasi. Tindakan itu tentulah menggagalkan usaha memajukan industri pelancongan.
Melanconglah di dalam negara. Ia lebih jimat dan mengelak pengaliran wang ke luar negara. Ketika nilai mata wang negara merosot berbanding negara lain, kos melancong ke luar negara menjadi semakin meningkat. Rakyat perlu menyokong aktiviti memulihkan ekonomi negara dengan melancong di dalam negara dan mengelak ke luar negara.
No comments:
Post a Comment