Dalam
kehidupan masyarakat Islam, masjid memainkan peranan yang amat besar dan luas.
Masjid bukan sekadar tempat melakukan ibadah semata-mata.
Sejarah
jelas membuktikan bahawa masjid berperanan besar sebagai pusat pembinaan
tamadun Islam yang gemilang. Usaha pertama Rasulullah sesampainya di desa Quba
dalam peristiwa Hijrah ialah mendirikan masjid.
Peristiwa
Rasulullah SAW mendirikan masjid pertama di Quba dalam sejarah
pengembangan Islam turut dinukilkan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud:
“Masjid itu didasarkan atas asas takwa,” (Surah at-Taubah, ayat 108).
Di
Masjid Quba ini jugalah buat pertama kali umat Islam melakukan solat Jumaat.
Ketika Rasulullah SAW meninggalkan Quba bagi meneruskan perjalanan ke Madinah,
unta yang ditunggangi baginda dibiarkan mengemudi perjalanan yang akhirnya
berhenti di satu tempat.
Di
tempat itulah, Rasulullah SAW kemudiannya membeli tanah itu untuk didirikan
pula masjid yang hari ini terkenal dengan nama Masjid Nabawi, sebagai pusat
kegiatan memancarkan syiar Islam.
Semua
ini dilakukan sesampainya di bumi Madinah sebelum baginda berfikir mendirikan
rumah peribadi mahupun prasarana lain. Hakikatnya, masjid dijadikan pusat
penyebaran syiar Islam dan pembangunan modal insan yang paling berkesan.
Selain
daripada menjadi pusat dakwah dan penyebaran syiar Islam, masjid turut
berperanan aktif menjadi faktor menyatu umat.
Sering
kali jika berlakunya perselisihan mahupun pertentangan pendapat di kalangan
sahabat-sahabat, masjidlah yang menjadi tempat pertama untuk dituju bagi
mendapatkan Rasulullah SAW.
Institusi
masjid juga berperanan aktif sebagai medan memupuk semangat jihad yang tinggi
di kalangan sahabat Nabi SAW.
Malah
sekiranya wujud isu-isu penting yang perlu disampaikan kepada masyarakat yang
menyentuh pelbagai permasalahan kehidupan, supaya berkumpul di masjid.
Maka
berhimpunlah seluruh warga Madinah di masjid untuk mendengar segala peringatan
dan pedoman yang disampaikan Rasulullah SAW.
Pernah
satu ketika Rasulullah SAW turut menyediakan tempat tinggal sementara di
pekarangan masjid bagi sekelompok sahabat yang tidak berwaris dan tidak mempunyai
tempat tinggal.
Sejarah
juga jelas menukilkan bagaimana masjid turut menjadi pusat perawatan tentera
yang cedera di waktu-waktu peperangan.
Khemah
yang didirikan di pekarangan masjid cukup terkenal dengan nama 'Khaimah Ummi
Rufaydah' yang turut menjadi tempat sabahat tersohor Saad bin Muaz dirawat.
Demikianlah
besarnya peranan masjid pada zaman Nabi SAW yang menjadi pusat pelbagai
kegiatan umat Islam. Apa yang pasti sebagai pusat penyebaran dakwah dan
kesatuan umat, masjid bukan setakat menjadi pusat ibadah secara ritual
semata-mata.
No comments:
Post a Comment