Satu amalan masyarakat Malaysia adalah
pemberian duit raya. Duit raya diberikan terutama kepada kanak-kanak yang hadir
berhari raya di rumah atau majlis hari raya. Muktakhir ini pula orang dewasa
juga disediakan wang raya oleh majikan atau organisasi untuk perbelanjaan hari
raya.
Adakah ia satu keperluan dalam agama
atau hanya suatu budaya? Kalau pemberian itu suatu keperluan, maka ia akan
menjadi suatu perkara yang rumit bagi golongan yang kurang berkemampuan.
Jika
amalan tersebut menjadi suatu budaya pula, ditakuti ia hanya tradisi masyarakat
atau adat kebiasaan dan bukan dilihat sebagai ibadat bersedekah yang dianjurkan
dalam Islam.
Oleh itu, konsep pemberian duit raya
seharusnya berpaksikan tujuan dan niat yang jelas bertepatan dengan sepotong
hadis Nabi yang menganjurkan umatnya bertukar-tukar hadiah kerana ia mengundang
perasaan mahabbah sesama Islam.
Nabi SAW bersabda bermaksud: "Bertukar-tukarlah
hadiah atau pemberian, nescaya kamu akan berkasih sayang dan menghilangkan
perasaan benci. (Riwayat Baihaqi)
Biarpun hadis itu adalah umum mengenai
hadiah dan pemberian yang tidak dikhususkan pada Aidilfitri, namun tidak salah
dikaitkan juga dengan duit raya. Hadis itu menyebut mengenai wujud gesaan bertukar
hadiah yang boleh mewujudkan perasaan kasih sayang.
Ada juga hadis yang menyebut agar kita
dapat mewujudkan atau menimbulkan kegembiraan di hati saudara-saudara kita yang
lain.
Maksud sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa
yang menimbulkan kegembiraan di hati mana-mana penghuni rumah, nescaya Allah
tidak meredai baginya melainkan diberikan pemberian syurga-Nya. (Hadis riwayat
Tabrani)
Lantaran itu, eloklah kita serikan dan
meriahkan hari lebaran terutama di kalangan golongan yang kurang bernasib baik,
kurang berada atau kanak-kanak.
Bagaimanakah pula bagi yang tidak mampu tetapi
apabila melihat orang lain memberi duit raya, maka dia terpaksa juga
memberinya?
Pemberian duit raya adalah antara
amalan-amalan kebajikan atau pemberian ikhlas seseorang yang disunatkan dalam
Islam. Justeru, berikanlah sumbangan itu dengan seikhlas dan setulus hati,
tanpa dipaksa oleh rasa bersalah sekiranya ia tidak dapat memberikannya.
Sekiranya
tidak mampu memberikan duit, maka juadah hari raya yang disajikan juga mencapai
maksud pemberian yang dianjurkan dalam Islam.
Tidak perlu paksakan diri untuk
memberi ketika kita tidak mampu melakukannya. Juga, jangan berasa malu dan
bersalah jika tidak mampu menyediakan duit raya.
Kepada ibu bapa pula, didiklah
anak-anak agar tidak meminta duit raya dengan sesiapapun. Terima dan ambil
hanya apabila diberikan. Ibu bapa supaya sentiasa menekankan kepada anak-anak
tentang penting amalan ziarah dan bukannya mengharapkan duit raya.
Ada
kanak-kanak terbiasa meminta duit raya dengan saudara mara. Kalau tidak diberi,
mereka akan merayu-rayu dan siap 'memaksa'.
No comments:
Post a Comment