Pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada
tahun 2018 memperlihatkan pelbagai situasi politik yang tidak pernah dialami
oleh negara semenjak merdeka.
Bermula dengan kejatuhan Barisan Nasional
sebagai parti kerajaan dan digantikan dengan Pakatan Harapan, pengunduran
parti-parti komponen Barisan Nasional yang kemudiannya menyertai Pakatan
Harapan atau bergerak secara sendiri, lompat parti oleh ahli-ahli yang
berhormat, pengosongan kerusi parlimen secara sengaja, pertuduhan mahkamah
kepada sebahagian besar ahli-ahli politik dengan berbagai tuduhan salah laku
dan penyelewengan, peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, kejatuhan Pakatan
Harapan sebagai parti kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU14, pembentukan
kerajaan yang rapuh, kekacauan politik yang menjurus perletakan jawatan Perdana
Menteri ke-8 dan kembalinya wakil UMNO menduduki kerusi Perdana Menteri ke-9
adalah situasi yang menggambarkan betapa keadaan politik Malaysia berada dalam
keadaan yang sangat gawat dan tidak stabil.
Tiga orang Perdana Menteri silih berganti di
dalam satu penggal adalah manifestasi betapa keadaan politik Malaysia dewasa
ini berada di dalam keadaan yang genting dan gawat.
Oleh kerana itu, sosialisasi dan literasi
politik perlu diperluaskan kepada masyarakat agar sistem demokrasi digunakan
dengan sebaiknya dengan memilih parti dan calon yang berkebolehan dan
berintegriti. Persoalannya, pilih parti atau calon?
Sistem demokrasi di negara kita mengamalkan
pendekatan kolektif. Negara bukan diperintah oleh individu tertentu sahaja. Ia
ditadbir berdasarkan kepada keputusan bersama, biarpun ada individu paling berkuasa.
Jadi, sehebat manapun seseorang tidak mampu
mentadbir negara dengan baik jika tidak mendapat sokongan padu daripada barisan
kabinet dan sokongan di parlimen.
Pertukaran tiga perdana menteri pasca PRU14
adalah bukti nyata tentang kedudukan perdana menteri mesti mendapat sokongan
padu daripada jemaah menteri dan sokongan di parlimen.
Sokongan berbelah bahagi berlaku disebabkan
kerana tidak ada mana-mana parti yang mendapat kemenangan besar untuk menjadi
parti dominen. Masing-masing memerlukan sokongan parti-parti lain untuk terus
berkuasa.
Justeru, pada PRU15 nanti, pengundi perlu
menentukan ada parti yang menang besar untuk menjadi parti teras dalam
pentadbiran negara. Pilihlah parti, bukannya calon. Biarlah parti yang membuat
pilihan calon. Setiap pada parti amat penting bagi kemenangan parti dan seterusnya
membentu kerajaan yang kukuh.
No comments:
Post a Comment