Banyak rekod sejarah tanah ini dipanggil sebagai Melayu atau
Tanah Melayu.
Manuel Godinho de Erédia,(1613) ada menyebut: "... titik
permulaan dari Pulau Pulo Catay di wilayah Pattane (Pattani), terletak di
pantai timur pada garis lintang 8 darjah, kemudian mengelilingi ke pantai lain
di sebelah barat Ujontana (Semenanjung Melayu),
".. menuju ke Taranda dan Ujon
Calan yang terletak dalam garis lintang yang sama di daerah Queda (Kedah):
kawasan wilayah ini terletak dalam wilayah 'Malayos' dan bahasa yang sama
digunakan di seluruh kawasan tersebut ..."
Ptolemy yang melukiskan peta pada abad ke-2 Masihi iaitu
Geographia yang menyebut sebuah wilayah bernama Maleu-kolon.
Catatan dari China membahaskan berkenaan nama Melayu. "Ma-li-yu-er" seperti mana yang disebut dalam catatan Dinasti Yuan, merujuk kepada sebuah
negara di Semenanjung Melayu yang berdepan dengan perluasan kuasa Kerajaan
Sukhothai ke selatan, semasa pemerintahan Ram Khamhaeng.
Catatan itu menyatakan: "... Permusuhan berlaku antara
Siam dan Ma-li-yu-er, dengan kedua-dua pihak saling berbunuhan..."
Sebagai tindak balas terhadap tindakan Sukhothai, seorang
utusan China dihantar ke istana Ram Khamhaeng pada tahun 1295 membawa titah
maharaja: "Tepatilah janji dan jangan lakukan kejahatan terhadap
Ma-li-yu-er."
Dalam catatan Marco Polo sekitar tahun 1292 pula, istilah
Malaiur turut muncul, menggambarkan sebuah pelabuhan penting di kawasan
Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya berkaitan dengan perdagangan rempah dan
emas.
Dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah yang bertarikh hingga ke
abad ke-17 Masihi, terdapat istilah Tanah Melayu. Dalam hikayat tersebut
apabila Hang Tuah dihalau keluar dari Melaka dan bersiap untuk merantau ke
Inderapura, dia ditanya ke manakah dia akan pergi.
Pahlawan Melayu itu menjawab ke mana sahaja dibawa kakinya, dengan menambah “lamun pada tanah Melayu”.
Wilayah yang pernah berada
di bawah kekuasaan Melaka, kesultanan yang menjadikan identiti Melayu itu bukan
sekadar nama kerajaan, kesultanan atau nama region sahaja, tetapi identiti yang
jauh lebih besar.
Maharaja-maharaja China ketika zaman Dinasti Ming pun
mengiktiraf kerajaan-kerajaan orang Melayu. Pada 2 Oktober 1411, Parameswara
(Raja Pertama Melaka) telah dijamu di Bangunan Gerbang Fengtian (China) oleh
Maharaja Dinasti Ming, serta dikurniakan emas dan barangan berharga lain sebagai tanda pengiktirafan kepada raja-raja Melayu.
Sumber penulisan asal:
Helmi Effendy
Penulis buku KITAB TAMADUN MELAYU
Helmi Effendy
Penulis buku KITAB TAMADUN MELAYU

No comments:
Post a Comment