Dalam usaha kita untuk bersaing dengan
negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya
melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan
kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.
Di harapkan langkah mengaplikasikan
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam PdP akan dapat menaikkan prestasi
negara khususnya dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam
pentaksiran Programme for International Student Assessment (PISA)
dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)
yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015.
KBAT melibatkan kemahiran intelek yang
tinggi. Kemahiran ini kebiasaan melibatkan merujuk kepada empat aras teratas
dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan mencipta.
KBAT juga mengaplikasikan pemikiran secara
kritikal, pemikiran kreatif, pemikiran logical, pemikiran reflektif dan meta
kognitif. Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian
diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam pelbagai bentuk.
Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan
kreatif.
Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk
membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan
akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan
suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru
dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran
berbentuk kreatif, inovatif dan mereka cipta di kalangan murid.
KBAT ini juga mempunyai kelebihan lain
iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid.
Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka
kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing.
Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan
kefahaman dan memperkukuh pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka
pelajari nanti.
Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras
tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah
itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah
asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah
kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti
suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan
kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid
dalam pengajaran mereka.
Antara cara berkesan yang boleh dilakukan
untuk menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan soalan-soalan yang
berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan.
Soalan dikemukakan adalah soalan yang
membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai
suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati
fakta yang telah dipelajari.
No comments:
Post a Comment