Sunday, 14 May 2023

SAF KANAK-KANAK TIDAK PERLU DIASINGKAN

 
Kerap berlaku imam atau petugas masjid yang marah kepada kanak-kanak berbuat bising di masjid. Bahkan, kanak-kanak itu 'diusir' daripada bersembahyang bersama-sama dengan orang dewasa. Mereka diasingkan di saf belakang atau hanya dibenarkan berada di bahagian belakang ruang solat.
 
Hal itu terjadi kerana kanak-kanak dilayan 'kejam' berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan kanak-kanak yang belum baligh atau belum bersunat tidak dibenarkan berada di saf orang dewasa.
 
Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah solat orang dewasa yang bersentuhan dengannya.  
 
Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.
 
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 
 
Ada dakwaan mengatakan jika kanak-kanak berada dalam saf orang dewasa akan menyebabkan putus saf, tidak ada ulama menyebut tentang perkara itu.   
 
Kanak-kanak yang diasingkan di belakang boleh menyebabkan mereka bermain-main dan berbuat bising dan perkara ini tidak terjadi jika kanak-kanak di dalam barisan orang dewasa di bawah pengawasan penjaganya.
 
Membawa kanak-kanak ke masjid dan diajar sembahyang bersama-sama dalam satu saf adalah cara mendidik mereka. Bukan dengan mengasingkan mereka. 
 
Ibu bapa yang membawa anak ke masjid dalam rangka mendidik adalah terbaik namun dinasihatkan juga supaya mengawal anak-anak agar tidak menganggu jemaah yang sedang bersolat dan beribadah.
 
Syaikh Ibnu Utsaimin di dalam Fatawa Islamiyah 2/8 ada melarang ibu bapa dari membawa anak-anak jika menganggu jemaah yang sedang menunaikan kewajipan bersolat. Sebaik-baiknya bawalah anak-anak yang berusia tujuh tahun ke masjid sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7 tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh Imam Nawawi, al-Albani, dan Syuaib al-Arnauth)
 
Tiada larangan mutlak membawa anak di bawah umur 7 tahun cuma perlu dipastikan mereka dijaga dan tidak menganggu jemaah melakukan ibadah.
 
Cara terbaik untuk mendisplin dan mendidik kanak-kanak bersembahyang adalah berada bersama-sama bapanya atau orang dewasa.
 
Terdapat sebuah hadis Sahih Al-Bukhari yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.
 
Menurut Imam Al-Khatib Al-Syarbini pula, kedudukan kanak-kanak di belakang makmum dewasa adalah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama, dan sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.
 
Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan.
 
Adalah dicadangakan kepada ibu bapa dan pihak masjid antaranya tidak membawa kanak-kanak yang teramat kecil dan susah untuk dijaga serta akan mengganggu jemaah ke masjid.
 
Jika kanak-kanak (yang masih kecil) tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya. Dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali.

No comments:

Post a Comment