Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh
keimanan dan ketakwaan, maka dia akan diampunkan baginya segala dosa yang telah
lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara kelebihan melakukan ibadat puasa ialah mampu mendidik manusia
menjadi hamba yang bertakwa dan membersihkan diri daripada sifat-sifat buruk. Sebab
itu ibadat puasa dianggap amat penting bagi setiap umat Nabi Muhammad dan juga
umat nabi terdulu.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu
berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu agar kamu
bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Dalam agama lain, amalan berpuasa (yang dilakukan dengan pelbagai cara dan
pendekatan mengikut agama masing-masing) dianggap sebagai cara mendekatkan diri
dengan Tuhan mereka dan menghapuskan dosa.
Ibadat puasa yang dilakukan dengan niat ikhlas mengabdikan diri kepada
Allah, mendapat balasan yang amat istimewa dan tiada tandingannya. Bahkan, ia
turut menjadi benteng yang kukuh mengelak diri daripada terpengaruh daripada
melakukan perbuatan yang tercela.
Di antara perbuatan tercela yang terhindar daripada dilakukan oleh orang
yang melaksanakan puasa dengan ikhlas dan sempurna ialah perasaan terlalu
mencintai dunia. Rasulullah menyebut perasaan mencintai dunia melebihi
kepentingan hidup di akhirat sebagai satu penyakit umat akhir zaman yang
membawa ke arah kehancuran.
Perasaan terlalu mencintai dunia akan menghalang seseorang daripada
membelanjakan apa yang dimiliki ke jalan Allah. Malah, setiap perbuatan yang
dilakukan semata-mata mengharapkan segala bentuk habuan di dunia seperti wang
ringgit, harta benda, pangkat, kedudukan dan pujian.
Sebaliknya, orang berpuasa sentiasa merasakan diri hampir dengan Allah dan
ingin melakukan amalan yang disukai Allah. Orang beriman sedar bahawa segala
kekayaan dan kejayaan yang dimilikinya di dunia ini semuanya datang daripada
Allah.
Membersihkan diri daripada dosa berkaitan harta perlu disegerakan agar
tidak terus menguasai diri. Sifat sayangkan dunia menjadi senjata utama syaitan
menyesatkan manusia. Biarpun ajal sudah amat hampir, masih terbayang kepada
kekayaan, pangkat dan kemewahan yang disayangi.
Ketika hampir ajal, syaitan mendekati orang terlalu sayangkan dunia, lalu
ditawarkan bantuan untuk mencapai segala impian. Syaitan menawarkan bantuan
dengan syarat manusia sanggup mengakui kekuasaan syaitan.
Orang tamak dan terlalu sayangkan dunia mudah dikuasai syaitan ketika
hampir ajalnya dan matilah dia dengan keadaan tidak beriman kepada Allah. Mereka
menyangka bahawa harta yang dimiliki itu mampu membayar kemewahan yang
berkekalan.
No comments:
Post a Comment