Tuesday 6 July 2021

BAIK BURUK HADIRI KELAS TUISYEN

 
Pelajar menghadiri tuisyen sudah menjadi satu budaya. Pusat tuisyen dibuka di merata-rata tempat, tidak lagi sekadar tertumpu di kawasan bandar, bahkan di pekan-pekan kecil.

Sikap ibu bapa dan pelajar yang mementingkan kejayaan dalam peperiksaan merupakan faktor meningkatnya bilangan pelajar menghadiri kelas tuisyen. 

Menghadiri kelas tuisyen dikatakan punca kepada kejayaan cemerlang ramai pelajar yang sebelumnya dianggap ketinggalan dalam pelajar.  

Tidak dinafikan, keputusan cemerlang bagi setiap peperiksaan menjadi impian semua pelajar dan ibu bapa. Itulah yang menjadi ukuran menentukan tahap kemampuan pelajar dan dijadikan asas untuk mereka meningkat lebih tinggi dalam pendidikan atau mendapat peluang pekerjaan yang baik.

Oleh itu, dalam usaha menentukan pencapaian cemerlang dalam semua keputusan peperiksaan, pelajar terpaksa memberi segala tumpuan untuk persiapan menghadapi peperiksaan, termasuklah menghadiri kelas tuisyen. 

Memang didapati ramai pelajar menghadapi masalah lemah dalam mata pelajar penting seperti matematik dan sains. Untuk memperbaiki kelemahan tersebut, menghadiri kelas tuisyen difikirkan sebagai cara terbaik. 

Kelebihan menghadiri kelas tuisyen adalah kerana ia diadakan mengikut mata pelajaran pilihan yang mana pelajar boleh memilih kelas yang ingin diikuti. Pelajar boleh memilih mana-mana mata pelajaran yang dirasakan perlu ditingkatkan kemampuan.  

Tambahan pula, kelas tuisyen memberi peluang untuk pelajar mengulangi tajuk-tajuk yang telah dipelajari di sekolah. Oleh itu, ia memberi kebarangkalian untuk lebih memahaminya lebih tinggi. Malah, pelajar berpeluang memilih tajuk mana yang mereka perlu beri perhatian berdasarkan kepada kemampuan sedia ada. 

Selain menghadiri kelas tuisyen biasa, ada pelajar memilih tuisyen khusus seperti mendapatkan guru khas yang hanya untuk sekumpulan pelajar yang kecil atau diadakan di rumah mereka sendiri. 

Cara ini lebih praktikal kerana guru dapat memberi perhatian penuh pada setiap pelajar dan memberi penilian yang lebih khusus. 

Terbukti ramai pelajar yang lemah dalam mata pelajaran dapat meningkatkan kemampuan mereka setelah menghadiri kelas tuisyen. 

Usaha lebih gigih mereka lakukan berbaloi dengan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mencapai apa diimpikan. Pengorbanan masa dan wang ringgit yang dicurahkan dirasakan tidak sia-sia.

Biarpun tuisyen itu baik, ada setengah pakar pendidikan mengatakan tidak semua pelajar perlu menghadirinya. Kelas tuisyen dianggap hanya sesuai untuk pelajar yang menghadapi masalah dalam memahami pelajaran dalam kelas di sekolah. Ia boleh dianggap sebagai kelas tambahan.

Sebenarnya sistem atau kaedah pembelajaran yang diadakan di sekolah telah memadai untuk melahirkan pelajar yang berjaya dalam peperiksaan dan juga akhlak. Pihak guru sentiasa mengadakan pendekatan yang khusus untuk memacu pelajar mencapai kejayaan cemerlang.

Bukti keberkesanan sistem pendidikan di sekolah dapat dibuktikan apabila statistik mengenai pelajar cemerlang mendapati ramai majoriti di kalangan mereka tidak menghadiri sebarang kelas tuisyen di luar sekolah. 

Malah didapati pelajar yang tidak menghadiri tuisyen lebih cemerlang daripada pelajar yang menghadiri tuisyen. 

Sistem pembelajaran di sekolah sudah lengkap dan mampu mendidik pelajar untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang ditetapkan untuk mereka. Barisan guru yang bertugas mempunyai pengalaman yang luas dalam tugas mendidik dan melahirkan pelajar yang cemerlang. 

Segala-galanya bergantung kepada kesungguhan pelajar mengikuti pelajaran yang diajarkan, di samping mengulangkali pelajaran dan mengadakan latih tubi yang berterusan.

Sistem yang diadakan di sekolah sekarang banyak membantu melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan. Di antara perkara yang diusahakan oleh pihak sekolah dan guru-guru ialah menyediakan kelas bimbingan, kelas tambahan, sistem anak angkat, sistem guru damping dan sebagainya.

Usaha yang diadakan oleh pihak sekolah itu untuk membantu pelajar lebih menguasai pelajaran selain kelas pada waktu pembelajaran biasa. 

Segala usaha tersebut dirancang dengan teliti bersesuaian dengan masa, keadaan dan keperluan. Guru mempunyai lebih masa untuk mengenalpasti keperluan pelajarnya dan menganjurkan sesuatu yang dapat membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Tetapi perkara ini sering pula disalah faham oleh ramai ibu bapa. Ruang masa lebih lama pelajar berada di sekolah yang dikendalikan oleh pihak sekolah dianggap membebankan pelajar, yang secara langsung menganggu rancangan untuk menghadiri kelas tuisyen. Ada ibu bapa dan pelajar seperti tidak yakin usaha murni guru itu akan mencapai kejayaan seperti yang diharapkan semua. 

Hakikat yang perlu diketahui ialah menghadiri kelas tuisyen bukan menentukan kejayaan mutlak pelajar. Banyak perkara perlu dikaji tentang keberkesanan menghadiri tuisyen. Silap perkiraan akan mendatangkan kesan buruk kepada pelajar yang menghadiri kelas tuisyen.

Di antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan masa bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar. Pelajar biasanya menghadiri kelas tuisyen pada sebelah masa berlawanan sesi persekolahan, malam dan hujung minggu.

Kebiasannya, masa pelajar perlu menghadiri kelas tuisyen seringkali bertembung dengan masa aktiviti diadakan di sekolah. Ini menimbulkan konflik di dalam diri pelajar sama ada mengikuti aktiviti sekolah atau menghadiri tuisyen. Kedua-duanya dianggap penting bagi mencapai kejayaan cemerlang. 

Biarpun masa kelas tuisyen setiap hari hanya sejam atau dua jam, jadual kelas amat padat. Ini kerana kelas dan guru yang sama disediakan untuk banyak kumpulan kelas tuisyen. Terdapat kelas diadakan seawal tengahari, lewat petang dan sehingga tengah malam.

Keadaan ini menyebabkan ada pelajar terpaksa belajar pada masa yang tidak sesuai. Ada pelajar terus pergi ke pusat tuisyen sebaik pulang dari sekolah tanpa pulang berehat dahulu di rumah. 

Di samping itu ramai pelajar menghadiri tuisyen tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengulangkaji sendiri pelajaran di rumah. Kerja sekolah yang diberikan oleh guru tidak sempat disiapkan. Ini secara langsung mengganggu perjalanan pelajaran di sekolah.

Disebabkan menghadiri kelas tuisyen dan aktiviti di sekolah, pelajar tidak sempat berehat. Keadaan ini menyebabkan pelajar sentiasa dalam keadaan lesu dan tidak selesa untuk belajar. Tekanan perasaan dan bebanan belajar menyebabkan penerimaan pelajaran menurun dan seterusnya gagal mencapai keputusan cemerlang.

Kita perempuan kembali melihat tujuan asal diadakan kelas tuisyen, iaitu untuk pelajar lemah dalam mata pelajaran tertentu. Sememangnya, pelajar lemah perlu masa belajar tambahan untuk membolehkan mereka ‘mengejar’ apa yang tidak sempat difahami ketika belajar di sekolah. 

Oleh itu, ibu bapa dan pelajar perlu fikirkan baik buruk dan keperluan menghadiri kelas tuisyen sebelum mengambil keputusan menghadirinya. Apa yang lebih penting ialah jangan jadikan sebab menghadiri kelas tuisyen hanya sebagai ikut-ikut atau trand. 

Ada juga pelajar tidak ikhlas menghadiri kelas tuisyen, yakni bukan untuk belajar, tetapi untuk bertemu dengan rakan-rakan dan alasan untuk lebih bebas keluar dari rumah.   

No comments:

Post a Comment