Di peringkat manapun tahap kepimpinan, kita
tidak boleh memandang mudah dengan amanah yang diberikan itu. Jangan abaikan
tugas yang perlu dilakukan. Sebagai seorang pemimpin perlu sentiasa berfikir
dan berusaha melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.
Individu sebagai pemimpin mempunyai
tanggungjawab yang amat berat sehingga ada yang tidak dapat melaksanakan dengan
baik. Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa dan ikhlas saja yang dapat
menjalankan tugas sebagai pemimpin yang baik.
Pemimpin yang jujur dan ikhlas sedar bahawa
akan berdepan dengan persoalan Allah tentang urusan yang diamanahkan kepadanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap
kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap perkara yang dipimpinnya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebenarnya, pemimpin yang bertanggungjawab
tidak meminta apa-apa keistimewaan untuk dirinya. Apa yang difikirkan ialah
mengenai organisasi yang dipimpin.
Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik
daripada orang lain. Apa yang lebih bagi seorang pemimpin adalah tanggungjawab
yang gentir perlu dilaksanakan. Mereka perlu adil dalam melaksanakan setiap
tindakan dan keputusan yang dibuat.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu supaya melaksanakan amanah terhadap ahlinya dan apabila kamu
menjalankan hukum antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum mereka dengan
adil.” (Surah an-Nisa, ayat 58)
Pemimpin yang benar-benar memegang amanah
akan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan mengikut keutamaan. Apabila dia berusaha
menyelesaikan masalah, perkara yang diteliti ialah fakta dan bukti yang benar.
Pada masa yang sama, individu yang bergelar
pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan
janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana amalan ini boleh melenyapkan
kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran.
Pemimpin yang melakukan pembohongan hanya
akan mendapat kemuliaan selagi perkara sebenar tidak terdedah. Namun, perkara
yang buruk lambat laun akan terdedah juga.
Perbuatan atau amalam suka berbohong akan
merendahkan martabat pemimpin di mata rakyat. Jadi, jika ini lama berkuasa dan
dapat menjalankan amanah dengan sempurna, pemimpin perlu menjauhkan sikap
berbohong.
Ada pepatah mengatakan, "Bercakap
benarlah kamu, walaupun benar itu pahit, kerana kepahitan itu adalah penewar
yang mujarab."
Perlu diingat, sesiapa yang dipilih menjadi
pemimpin bukan bermakna dirinya semua tahu. Sebenarnya banyak perkara perlu
dipelajari. Pemimpin tidak perlu malu untuk belajar daripada orang yang lebih
arif.
Seseorang dipilih menjadi pemimpin pada zaman
ini mungkin hanya kerana kelebihan berkaitan perkara tertentu saja. Jadi,
mereka perlu tawaduk dan merendah diri dalam semua tindakan.
Maka, untuk melangkapkan kepimpinannya,
pemimpin itu perlu melantik pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk
menasihatinya. Pembantu atau penasihat yang dilantik sudah tentu boleh memberi
khidmat terbaik dalam bidangnya.
Penasihat yang dilantik itu hendaklah
berdasarkan kelayakan, bukan kenalan atau pertalian saudara. Islam melarang
seseorang pemimpin melantik penasihatnya atau pegawainya berdasarkan kenalan
rapat atau saudara mara sedangkan mereka tidak berkelayakan.
Seseorang yang diberi jawatan kerana saudara
atau kenalan jarang mengambil kira kemahiran yang diperlukan. Mereka dilantik
kerana untuk menjaga kepentingan peribadi atau individu tertentu.
No comments:
Post a Comment