Ikhlas adalah sifat luhur yang perlu ada
pada diri setiap muslim. Sifat ikhlas membuatkan seseorang melakukan sesuatu
perkara berdasarkan apa yang sepatutnya dilakukan, terutama dalam hubungan kita
dengan Allah.
Lawan bagi ikhlas ialah sesuatu yang
bergilir-gilir berada di hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat.
Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak
dianggap ikhlas lagi dan dianggap riyak.
Imam al-Ghazali berpandangan bahawa ikhlas
yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri
dan nafsunya sebaliknya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Ia istiqamah mematuhi segala perintah yang
diputuskan oleh Allah SWT dalam beribadat kepada-Nya. Ini menunjukkan bahawa ia
telah memisahkan dirinya dari segala yang selain daripada-Nya.
Maka, dapat difahami dari pandangan Imam
al-Ghazali ini bahawa antara ciri-ciri yang bertentangan dengan al-ikhlas ialah
tidak ikhlas, riyak, ujub dan mementingkan hawa nafsu.
Sesuatu perbuatan dikira ibadat dan memberi kebaikan di akhirat jika dilakukan dengan ikhlas.
Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang
menekankan keutamaan bersifat ikhlas. Firman Allah bermaksud: “Pada hal mereka
tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan
ibadat kepada-Nya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5).
Keikhlasan sebenarnya bergantung kepada apa
yang tersimpan di dalam hati. Ia mempunyai kaitan rapat dengan niat. Hati yang
ikhlas sentiasa menyimpan niat yang baik setiap apa yang dilakukan.
Sesuatu perbuatan dikira ibadat dan memberi kebaikan di akhirat jika dilakukan dengan ikhlas.
Tiada perbuatan yang didasarkan dengan ikhlas yang akan membawa kepada keburukan. Sebab itu, setiap amalan ditentukan pahala jika dilakukan dengan ikhlas.
Memang sukar untuk menilai keikhlasan seseorang, kerana apa yang diucapkan dan dilakukan belum tentu sama dengan apa yang tersimpan di dalam hatinya.
Banyak orang sekadar mengucapkan pengakuan ikhlas di mulut, tetapi tidak di hati. Apa yang dilakukan sekadar berpura-pura untuk mendapat apa yang diingini.
No comments:
Post a Comment