Sultan Muhammad V diputerakan pada 6
Oktober 1969. Baginda adalah putera kepada pasangan Sultan Ismail Petra Ibni
Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. Diputerakan
sebagai Tengku Muhammad Faris Petra bin Tengku Ismail Petra.
Baginda mendapat pendidikan awal di Fatima
Convent kindergarten dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Satu, Kota Bharu
sebelum menyambung pelajaran baginda di Alice Smith School, Kuala Lumpur.
Baginda kemudian berangkat ke England bagi
menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya
Baginda melanjutkan pengajian di Kolej St Cross, Oxford dan Pusat Oxford untuk
Pengajian Islam untuk kajian diplomatik. Baginda menamatkan pengajian pada
tahun 1991.
Banginda terlibat dalam pelbagai pertubuhan
kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan
keselamatan dan ketenteraan. Baginda telah dilantik sebagai Komander Rejimen 506
Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral. Baginda juga adalah Kolonel Yang
Dipertua Rejimen Artileri Diraja dan Kor Risik Diraja.
Pada 23 November 2022, baginda dimasyhurkan
sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Istiadat
Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor & Konvokesyen ke-12 UMK di UMK Bachok.
Tengku Muhammad Faris Petra telah
dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan
Baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.
Pada 25 Mei 2009, baginda dilantik sebagai
Pemangku Raja Kelantan, setelah ayahanda baginda Sultan Ismail Petra mendapat
rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Pada 13 September 2010, baginda telah
diisytiharkan sebagai Al-Sultan Kelantan ke-29, mengikut Perkara 29A Perlembagaan
Negeri yang menyatakan bahawa Sultan tidak boleh lagi menjadi raja jika baginda
tidak berdaya maju memerintah selama tempoh lebih daripada satu tahun. Baginda
mengambil nama Sultan Muhammad V.
Sultan Muhammad V telah menghadiri
Mesyuarat ke-222 Majlis Raja-Raja buat kali pertamanya sebagai ahli penuh pada
bulan Oktober 2010. Ini menandakan pengiktirafan kesertaan sebagai Sultan oleh
raja-raja lain.
Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis
Raja-raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda
untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas
tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara.
Pemasyhuran itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.
Pada 24 April 2017, baginda telah
ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dalam upacara
penuh adat istiadat yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur
pada usia 47 tahun.
Pada 6 Januari 2019, baginda telah turun
takhta kerajaan persekutuan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15.
No comments:
Post a Comment