Sunday, 27 September 2026

PUNCA UMAT ISLAM HILANG KEKUATAN

 
Punca umat Islam hilang kekuatan. Apabila umat Islam asyik bergaduh dan berdebat sesama sendiri, maka kekuatan sebenar dimiliki umat Islam semakin berkurangan, memberi kelebihan kepada musuh Islam untuk merencanakan kesan yang lebih buruk akibat sikap tersebut.

Tidak sekadar itu, musuh-musuh Islam sentiasa cuba ke hadapan dalam menanam kehendak mereka dalam pemikiran umat Islam melibatkan pelbagai disiplin ilmu yang wujud di dunia ini. Penjajahan pemikiran juga berlaku dalam bidang ekonomi, sosial, ilmu sains dan bidang-bidang lain.

Dalam konteks ekonomi, musuh Islam memperkenalkan kapitalisme sebagai 'pemain' yang mewakili mereka untuk mempengaruhi minda manusia. Sistem yang mendokong orentasi ekonomi riba yang jelas ditolak oleh ideologi Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam bab sosial pula, musuh Islam mewujudkan pelbagai seni pemikiran yang menjauhkan manusia dari manhaj Rabbani  untuk didokong oleh umat Islam. Kebebasan melampau ditaja dan dijenamakan atas kalimah hak asasi manusia sedang hak Allah SWT sebagai Rabbul a'lamin dinafikan.

Musuh-musuh Islam menyedari bahawa Islam tidak mungkin dapat dilumpuhkan melalui serangan fizikal iaitu melalui peperangan. Maka, mereka mengubah strategi mereka dengan menghantar askar-askar halus meresap dan menyerang umat Islam dengan pemuda menjadi sasaran utama.

Misi mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada fahaman Islam yang sebenar selain merekrut 'askar-askar' baru dari kalangan umat Islam sendiri untuk dijadikan boneka kepada propaganda yang sedang mereka rencanakan.

Hasilnya hari ini, boneka musuh-musuh Islam ini ada di setiap pelusuk dunia bahkan mereka juga turut berorganisasi dan gerakan mereka bersistematik.

Seluruh umat Islam perlu kukuh dan mantap dengan tassawuf Islam yang mampat serta fikrah yang jelas sebagai benteng diri berdepan serangan pemikiran yang dilancarkan golongan laknatullah ini.

Firman Allah SWT: "Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan." (Surah Ali Imran, ayat 196-197).

Allah SWT berfirman dalam surat At-Taubah yang bermaksud: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir itu benci akan hal itu.”(Surah At-Taubah, ayat 32).

Gambar sekadar hiasan. 

Sunday, 20 September 2026

KES SAKAU TH YANG TELAH DIDAKWA

 
Kes sakau TH yang telah didakwa. Pada 19 September 2026,  SPRM memaklumkan bahawa setakat ini, enam individu telah didakwa dalam kes-kes berkaitan Tabung Haji dan anak syarikatnya selepas berbulan-bulan siasatan, termasuk ramai individu yang sebelum ini direman dan dibawa ke mahkamah dengan pakaian lokap berwarna oren.

Tetapi bila baca satu-satu pertuduhan, tahap keseriusan dan bentuk dakwaan memang sangat berbeza.

Individu 1. Mohamad Hashim Mukhatap - ketika menjadi Pengurus Pembinaan THP Timur, didakwa memasukkan RM14,000 wang penalti kontraktor Kelpile ke akaun peribadinya antara Nov 2017 hingga Ogos 2018.

Jumlah wang TH disakau: RM14,000

Individu 2 dan 3: Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin dan Nasahruddin Ahmad - ketika masing-masing menjadi Timbalan Pengurus Besar TH Properties/THP Bina dan Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina, didakwa berkaitan pecah amanah RM72,000 wang penalti kontraktor Fourth Wave antara April 2013 hingga Ogos 2015.

Nasahruddin didakwa memasukkan wang itu ke akaunnya sendiri, manakala Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat dengan mengarahkan bayaran tersebut dimasukkan ke akaun bank.

Jumlah wang TH disakau secara peribadi: RM72,000

Individu 4. Abdul Azeez Abdul Rahim - ini yang paling menarik. Kalau tengok pertuduhan terhadap Abdul Azeez ini, memang nampak sangat lemah pada fakta yang dilaporkan setakat ini.

Pertama, dia dituduh menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana, dengan remunerasi RM690,000 setahun, BMW 7 Series dan pemandu.

Tetapi pertuduhan sendiri menyebut dia mengarahkan CEO TH supaya mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana. TH pula hanya membeli 30% pegangan dalam syarikat itu, bukannya pemegang saham majoriti.

Maksudnya, TH boleh mencadangkan wakilnya. Tetapi keputusan siapa dilantik sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana, termasuk pakej remunerasi, bukan keputusan TH seorang diri. Itu bergantung kepada struktur lembaga dan pemegang saham syarikat tersebut.

Wang dan kereta itu juga dibayar oleh syarikat tersebut - bukan dari dana TH.

Kedua, Azeez dituduh “meyakinkan” Ahli Lembaga TH supaya meluluskan pelaburan RM193.5 juta bagi pegangan sehingga 30%. Bukan dituduh dia seorang mengarahkan atau meluluskan pelaburan tersebut. Itu tetap keputusan Lembaga TH.

Dan RM193.5 juta itu bukan wang yang didakwa masuk poket Azeez. Ia ialah nilai pelaburan TH dalam syarikat tersebut.

Kalau “cadangkan diri sebagai wakil pemegang saham minoriti” dan “meyakinkan lembaga supaya melabur” sudah cukup dijadikan asas kes jenayah, itu memang satu precedent yang sangat luas.

Yang sepatutnya dibuktikan ialah sama ada benar wujud penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, bukan sekadar kerana seorang pengerusi menyokong sesuatu pelaburan dan kemudian dilantik mewakili pelaburan tersebut.

Jumlah wang TH disakau secara peribadi: RM0.00

Individu 5. Azmi Ahmad - ketika menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Alam Maritim, didakwa menyembunyikan kadar sewaan kapal sebenar sehingga TH-Alam Management menandatangani kontrak pada kadar lebih rendah, melibatkan transaksi pada Sept 2023 dan Jan 2024 - dua-dua berlaku masa Madani.

Jumlah wang TH disakau secara peribadi: RM0.00

Individu 6. Jamil Khir Baharom - ketika menjadi Menteri di JPM bagi Hal Ehwal Agama, didakwa atas tiga pertuduhan meluluskan bayaran TH sebanyak RM860.3 juta kepada Al-Rawda pada 2015, 2016 dan 2017.

Kalau sekadar Menteri luluskan bayaran menjadi jenayah maka Menteri Kewangan yang luluskan bayaran RM200 juta berhubung pelaburan KWAP dalam eFishery yang wang kemudian lesap semua pun kena dakwalah.

Jumlah wang TH disakau secara peribadi: RM0.00

Jadi, di mana datangnya UMNO sakau berbilion-bilion wang Tabung Haji?

Sebab itu, UMNO perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan bahawa kerugian RM13 bilion yang sering disebut itu sebenarnya berpunca daripada tindakan PH yang mengiktiraf financial review tanpa mengikut kerangka undang-undang yang sepatutnya, serta keputusan memindahkan aset-aset TH kepada UJSB.

Pemindahan itu pada masa sama telah merealisasikan kerugian atas kertas ketika nilai pasaran berada pada paras lemah, susulan kejatuhan besar harga saham selepas PRU14.

NOTA: Baki lima lagi kes yang masih dalam siasatan nampaknya lebih menarik kerana turut membabitkan perkara yang berlaku pada zaman PH1.0.

Menurut SPRM, lima siasatan yang masih berjalan melibatkan isu Deru Semangat, Abraj, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), Al-Faridah serta pemberian bonus tinggi.

Oleh: Eric See To - Lim Sian See

Thursday, 10 September 2026

HUTANG NEGARA CECAH REKOD TERTINGGI

 

Hutang negara cecah rekod tertinggi. Pada Mei 2018 hutang sukuk domestik kerajaan adalah sebanyak RM684.6 bilion. Pada November 2022, baki sukuk domestik kerajaan daripada RM1,010.1 bilion kepada RM1,370.7 bilion setakat September 2026.

Itu peningkatan sebanyak RM360.6 bilion dalam tempoh kurang empat tahun. 

Malah bagi tahun 2026 sahaja setakat September, kerajaan telah menerbitkan sukuk baharu sebanyak RM135.0 bilion.

Jumlah sukuk yang ditebus pula hanya RM53.95 bilion.

Maka pinjaman bersih kerajaan bagi 2026 YTD ialah RM135.0 bilion − RM53.95 bilion = RM81.05 bilion

Sunday, 23 August 2026

DATARAN KUALA PULAU BETONG

 
Dataran Kuala Pulau Betong. Kawasan tepi muara Sungai Betong kini berubah wajah apabila Kementerian Kewangan Malaysia atas inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI yang telah menaik taraf serta mencantikkan Dataran Kuala Pulau Betong. Balik Pulau, Pulau Pinang. Kawasan tersebut lebih kondusif dan selesa untuk penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Selain memperindahkan Dataran Kuala Pulau Betung, Kementerian Kewangan sedang mempercepatkan projek pembangunan berskala kecil di Pulau Betong sebagai sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat Madani, yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara komuniti bandar dan luar bandar serta mempertingkatkan infrastruktur asas. 

Pulau Betong telah dipilih kerana keperluan infrastruktur yang sedia ada dan potensi yang menjanjikan untuk ekopelancongan, yang dilihat sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi tempatan.

Dengan kira-kira 1,200 penduduk, pendapatan komuniti ini datang terutamanya daripada perikanan, pertanian, industri dan pekerjaan dalam sektor awam.

Kampung ini mempunyai tarikan semula jadi seperti pantai, bukit, kebun durian, tanaman gaharu dan ladang tiram, udang serta ketam bakau. Ia juga menawarkan penerokaan sungai dan paya bakau, disokong oleh 24 homestay tempatan yang mengalu-alukan pengunjung ekopelancongan.

Friday, 24 July 2026

JANJI MELAKUKAN PERKARA BAIK

 
Janji melakukan perkara baik. Apabila berjanji ingin melakukan kebaikan, maka wajib berusaha dengan sedaya usaha menepatinya. Ganjaran pahala bukan sahaja berkaitan menunai janji, bahkan juga perbuatan baik itu akan mendapat ganjaran sepatutnya.

Bagaimanapun, janji melakukan perbuatan dosa tidak wajib ditepati, bahkan haram ditepati. Janji melakukan dosa tidak termasuk dalam maksud janji yang disuruh dilaksanakan. Bahkan, janji melakukan keburukan adalah ditegah sama sekali.

Sesungguhnya, apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. Tanggungjawab adalah amanah. Sesiapa tidak melaksanakan amanah dipanggil pecah amanah. Individu yang mementingkan nama baik sudah tentu tidak mahu dirinya dikenali sebagai tidak amanah. 

Orang yang tidak amanah tidak akan dipercayai untuk diserahkan tugas yang penting. Hal ini sudah tentu merugikan diri sendiri. Sekali identiti tidak amanah terlekat pada diri, sukarlah untuk dibuang daripada ingatan orang lain.  

Sikap tidak amanah, tidak menepati janji dan bercakap bohong mempunyai kaitan rapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan orang tidak amanah layak dipanggil pencuri, seperti kata pepatah, senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.

Tidak ada gunanya menerima janji dengan individu telah dikenali tidak beramanah. Kemungkinan janji itu tidak ditepati amat besar. Kita hanya perlu menyerahkan amanah kepada individu yang diketahui keupayaan melaksanakan amanah itu.  

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisa, ayat 58). 

Dalam ayat lain pula dikaitkan antara amanah dengan janji. Firman-Nya bermaksud: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” (Surah al-Mukminun, ayat 8). 

Gambar sekadar hiasan

Wednesday, 15 July 2026

RAMBUTAN GADING BERWARNA KUNING

 
Rambutan gading berwarna kuning. Ia adalah varieti rambutan popular di Malaysia. Isinya tebal, berwarna putih jernih, manis, pejal dan kurang berair. Salah satu kelebihan rambutan gading ialah isinya mudah dipisahkan daripada biji, menjadikannya lebih mudah dimakan.

Rambutan gading mempunyai kulit berwarna kuning cerah atau kuning keemasan, berbeza dengan rambutan biasa yang berwarna merah apabila masak. Warna hijau ketika masih muda.

Pokok yang dibiakkan secara cantuman boleh berbuah seawal 1 hingga 2 tahun. Memerlukan kawasan terbuka dengan cahaya matahari penuh. Tanah yang gembur dan bersaliran baik (pH 5.5 - 6.5) adalah yang paling sesuai.

Bagi proses penanaman, perlu disediakan campuran tanah dengan bahan organik seperti tinja ayam untuk memudahkan proses tumbesaran pada peringkat awal. Siram pokok muda 2–3 kali seminggu, terutamanya pada musim panas.

Anak pokok rambutan gading boleh didapati di pelbagai tapak semaian tempatan atau dibeli secara dalam talian.

Disebabkan warna yang menarik dan rasa yang manis, rambutan gading sering mendapat permintaan tinggi dan mempunyai nilai komersial yang baik, sesuai untuk jualan segar.

Sunday, 28 June 2026

MUNFIK JATUH AKIBAT PERBUATAN SENDIRI

 
Munafik jatuh akibat perbuatan sendiri. Munafik itu sangat pandai berkata-kata, sangat pandai bermuka-muka, dan licik mempergunakan segala peluang yang ada untuk menonjolkan dirinya.

Hakikatnya, dia tidak sangkakan yang ramai telah mengetahui tentang hakikat diri kemunafikannya walaupun yang ramai itu berlagak naif.

Akhirnya sang munafik akan jatuh kerana kelicikan dirinya sendiri. Sikap tidak jujur memakan diri sendiri.

Jadilah seperti buah manggis yang hitam di luar, putih di dalam. Tidak menipu tentang bilangan ulas yang ada. Bilang tampok, itulah jumlah isinya.

Monday, 8 June 2026

MAKSUD TIDAK MAHU DUDUK SEMEJA

 
Maksud tidak mahu duduk semeja dalam konteks politik bermaksud tidak mahu berkongsi kuasa, tidak mahu berbincang atau tidak mahu bersama dalam urusan politik dan kuasa.

Jadi, kalau orang politik kata tidak mahu duduk semeja, bukan bermakna tidak mahu duduk semeja untuk makan, berbual atau bersosial.

Kita pun tahu, pemimpin politik yang bertengkar di sidang Parlimen, sedangkan di luar sidang elok sahaja bersahabat.

Jadi, kalau ada pemimpin kata tidak mahu duduk semeja dengan mana-mana parti politik, kata-kata itu tidak boleh dianggap sebagai satu perkauman.

Kata-kata itu juga bukan merujuk kepada semua keadaan atau peringkat. Mungkin, tidak mahu duduk semeja itu hanya untuk negeri sahaja, sedangkan di peringkat pusat lain hal pula.

Gambar sekadar hiasan

Tuesday, 2 June 2026

PARTI KOMUNIS HILANG KUASA DI INDIA

 
Parti Komunis hilang kuasa di India. Parti Komunis di negeri Kerala, India, telah kalah teruk dalam Pilihan Raya Dewan Undangan yang diadakan pada 9 April 2026. Keputusan yang diumumkan pada 4 Mei 2026 itu menamatkan penguasaan kerajaan berhaluan kir selama 50 tahun.

Gabungan Left Democratic Front (LDF) tewas kepada gabungan United Democratic Front (UDF) yang dipimpin oleh Kongres Kebangsaan India.

Kekalahan ini membawa impak besar dalam landskap politik India yang pernah satu ketika fahaman komunis diterima secara meluas di Kerala dan Benggala Barat. Parti berfahaman komunis terkenal dengan perjuangan hak pekerja dan pembaharuan tanah di India.

Buat pertama kali sejak tahun 1977, tiada langsung negeri di India yang ditadbir oleh mana-mana kerajaan berhaluan kiri atau parti komunis.  

UDF memenangi majoriti besar dengan merangkul lebih 100 daripada 140 kerusi, sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Pinarayi Vijayan yang telah berkuasa sejak tahun 2016.

Kegemilangan parti berfahaman komunis di Kerala bermula seawal tahun 1957. Kerala pernah mencipta sejarah dunia apabila memilih kerajaan komunis pertama melalui pilihan raya demokratik. Waktu itu, E. M. S. Namboodiripad jadi Ketua Menteri dan mula buat reformasi besar dalam tanah dan pendidikan.

Lepas tu, komunis terus kuat di beberapa negeri. Di Bengal Barat, mereka berkuasa tanpa henti dari 1977 sampai 2011, antara pemerintahan paling lama dalam sejarah demokrasi dunia.

Di Tripura pula, mereka pegang kuasa dari 1993 sampai 2018.

Dan satu masa dulu, mereka juga kuat di peringkat nasional. Tahun 2004, blok kiri ada lebih 60 kerusi Parlimen dan jadi “kingmaker”. Malah, mereka hampir menentukan hala tuju perjanjian nuklear India dengan Amerika Syarikat.

Tapi lepas tahun 2011, semuanya mula runtuh satu per satu.

Bengal Barat jatuh dulu kepada parti All India Trinamool Congress pimpinan Mamata Banerjee. Lepas tu Tripura pula jatuh kepada Bharatiya Janata Party pada 2018.

Antara sebab utama, ramai penganalisis kata komunis gagal menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Isu-isu lama seperti kesatuan pekerja dan industri berat sudah tidak relevan macam dulu.

Selain tu, mereka juga dilihat gagal tangani isu sosial moden seperti kasta, gender dan ketidaksamaan dalam bentuk baru. Generasi muda pula makin kurang tertarik dengan ideologi lama yang nampak “kaku”.

Ada juga yang kata parti komunis sendiri sudah hilang identiti asal. Dulu mereka dikenali sebagai suara rakyat marhaen, tapi sekarang dilihat terlalu selesa dengan kuasa sampai lupa peranan asal sebagai pembela rakyat.

Gambar - Pinarayi Vijayan

Monday, 25 May 2026

ADAT CUKUR JAMBUL

 
Adat cukur jambul. Dalam masyarakat di Malaysia, ketika melakukan cukur jambul, melakukan amalan seperti menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga. Amalan itu menyerupai budaya Hindu. 

Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.

Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk.

Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak di sekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil.

Sambil para hadirin berselawat dan berzanji, bayi didukung oleh bapa atau datuknya kemudian hadirin bergilir-gilir menggunting sedikit rambut bayi.

Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa.

Akhirnya kelapa tersebut ditanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama". (Hadis riwayat Ahmad). 

BERBUAT BAIK DAN BERLAKU ADIL

 
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fil Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah ayat 8)

Ayat di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.

Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka.

Perkataan “al-birr” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”.

Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain).

Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ia berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik.

Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.”

Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat).

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Mumtahanah ayat 9)

Gambar sekadar hiasan

GARIS PANDUAN UCAP PERAYAAN BUKAN ISLAM

 
Garis panduan ucap perayaan bukan Islam. Diharuskan untuk mengucapkan tahniah atau meraikan sambutan perayaan bukan Islam apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. 

Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan bukan Islam hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan perayaan lain, perbuatan itu tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.

Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam.

Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38.

Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.

Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ia diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal.

Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.

Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata bermaksud: "Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka." (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan (9/234) dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1609)

Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram. (Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah, 3/432)

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

UCAP TAHNIAH PERAYAAN KEPADA BUKAN ISLAM

 
Ucap tahniah perayaan kepada bukan Islam. Di Malaysia ada dua pandangan tentang hukum mengucapkan tahniah perayaan kepada bukan Islam. Ada golongan mengapakan harus dan sebahagian pula mengatakan haram. Secara amalannya banyak mengatakan harus.

Pihak mengatakan harus adalah dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus.

Antara perkara yang dihujahkan adalah adakah ucapan tersebut dikiranya penyerupaan (tasyabbuh) dengan mereka yang mengucapkannya sesama mereka? Banyak pendapat mengatakan "tidak", kerana ucapan tahniah dan selamat itu bukanlah suatu yang eksklusif, sebaliknya adalah suatu ucapan adat, seperti selamat pagi dan selamat menyambut kelahiran dan sebagainya.

Sekiranya seorang bukan Islam engucapkan kepada kita selamat menyambut maulidurrasul, adakah ia bermaksud, daripada semua sudut, bererti dia mengiktiraf aqidah orang Islam? Pastinya tidak.

Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah).

Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).

Perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi yang tepat bagi perkataan “tahniah” dan “selamat” yang menyebabkan hukumnya terbahagi kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar.

Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud: “ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dan lain-lain, ucapan selamat”. Maka, tahniah juga tidak semestinya menzahirkan rasa reda dan pengagungan kepada sesuatu hal.

Bahkan pada 22 Disember 2007, seramai 138 cendekiawan Islam telah menandatangani satu surat terbuka sempena sambutan Hari Krismas kepada pimpinan gereja sedunia termasuklah Pope Benedict XVI.

Antara mesej surat tersebut ialah mengucapkan Merry Christmas kepada masyarakat Kristian yang menyambutnya, serta menzahirkan penghargaan atas respon positif kepada pimpinan agama Kristian terhadap usaha dialog antara agama yang dimulakan oleh pimpinan kaum Muslimin. Antara ulama yang menandatangani surat terbuka ini termasuklah Syeikh ‘Ali Jum’ah, Syeikh Hamza Yusuf dan Syeikh Ikrima Sabri (Mufti al-Quds).

Keputusan institusi fatwa seperti Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.

Begitu juga fatwa dikeluarkan Dar al-Ifta’ menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam. 

Manakala Majlis Fatwa Eropah juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam, dan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).

HUKUM UCAP TAHNIAH PERAYAAN BUKAN ISLAM

 
Hukum berkaitan mengucapkan tahniah atau selamat menyambut perayaan bukan Islam kepada individu bukan Islam sering menimbulkan polemik. Ada ulama kata harus dan ada juga mengatakan haram.

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia bersama non-Muslim, dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah al-Mumtahanah yang bermaksud: “...hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-Muslim).”

Dalam komentar beliau terhadap fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim pula, beliau menyatakan persetujuan bahawa Muslim tidak boleh sama-sama merayakan perayaan non-Muslim, tapi ini berbeza dengan sekadar mengucapkan tahniah sempena hari kegembiraan mereka.

Sesungguhnya Ibn Taimiyyah berfatwa untuk zaman beliau yang mempunyai konteks yang tersendiri. Bahkan jika beliau hidup pada zaman ini dan melihat konteks hubungan manusiawi pada zaman sekarang yang amat rapat, nescaya beliau akan mengubah fatwa beliau, atau berlembut sedikit daripada pendirian tegas beliau dalam isu ini. 

Bahkan perayaan Krismas juga telah berubah menjadi satu perayaan bersifat adat. Pun begitu keharusannya adalah dengan syarat tidak ada sebarang bentuk pengagungan syiar agama lain seperti salib atau meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja. (Lihat Fiqh Mu’asirah, 1/669-673)    

Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/174)

Menurut Syeikh Abdullah bin Bayyah, adalah diharuskan untuk kita mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib.

Ucapan tahniah sempena perayaan ini tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau keredaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia hanya satu bentuk  mujamalah  (perkataan yang baik dan penuh hormat) sesama manusia.

Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Namun, beliau tetap menegaskan akan keharaman orang Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini. (Rujuk Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hal. 430-435)

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjadi dalil bahawa harus memulakan salam kepada non-Muslim kerana ia termasuk di bawah perbuatan baik, dan ini juga pandangan Imam al-Nawawi. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 11/103 dan Syarh Sahih Muslim, 14/145)

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, Nabi SAW tidak berkata “berakhlaklah dengan Muslim dengan akhlak yang mulia” tapi dengan seluruh manusia. Namun beliau mensyaratkan agar ucapan tahniah itu tidak mengandungi pengakuan terhadap kebenaran agama mereka atau meredhai kekufuran mereka, dan tidak menyanggahi prinsip-prinsip Islam. (Rujuk Fiqh Mu’asirah, 3/668)

Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan.

HARUS UCAP TAHNIAH PERAYAAN BUKAN ISLAM

 
Ada kumpulan ulama mengatakan harus mengucapkan tahniah kepada bukan Islam ketika perayaan agama mereka. Manakala, sebahagian yang lain pula mengatakan haram.

Tulisan ini akan mencatatkan pendapatan golongan ulama mengatakan harus. 

Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? 

Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350)

Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka.

Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 6/289)

Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam.

Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235).

Menurut Imam al-Bulqini, jika seseorang itu mengucapkan dengan niat mengagungkan agama mereka, maka dia telah kafir. Adapun jika sekadar menyatakan dengan lisan tanpa niat yang demikian, maka dia tidak jatuh kafir. (Rujuk Fatawa al-Bulqini, hal. 986)

Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:

Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Quran dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada mereka.

Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka.

Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Quran, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijmak, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya.

Syeikh Muhammad Rasyid Redha menulis bahawa maslahah rakyat sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka.

Akhlak yang buruk jka disandarkan kepada agama merupakan sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik. (Rujuk Majallah al-Manar, 7/24)

Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah pastinya lebih ringan hukumnya.

Syeikh Musthafa Zarqa mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini. (Rujuk Fatawa Musthafa al-Zarqa’, hal. 357)

HUKUM UCAP TAHNIAH PERAYAAN BUKAN ISLAM

 
Hukum ucap tahniah perayaan bukan Islam. Para ulama berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim. Ada golongan mengatakan haram dan sebahagian yang lain mengatakan harus. 

Dikemukakan pendapat ulama yang mengatakan haram mengucap tahniah. Secara umumnya, jumhur ulama keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.

Mazhab Syafie: 

Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum takzir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai haji", sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji ". " (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)

Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526.

Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21).

Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari (Asna al-Mathalib, 4/162), Ibn Hajar al-Haitami (Tuhfah al-Muhtaj, 9/181) dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.

Mazhab Hanafi: 

Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555).

Mazhab Maliki:

Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan pada hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48).

Mazhab Hanbali: 

Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)

Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa tidak halal bagi umat Islam untuk menyerupai mereka  (orang-orang bukan Islam) pada sesuatu pun dari perkara-perkara yang terkait secara khusus dengan perayaan mereka.

Tidak menyerupai dari sudut makanan, pakaian, mandian, menyalakan api, serta tidak pula menyerupai mereka pada perkara yang membatalkan adat dari sudut kehidupan atau ibadah, atau selainnya.

Begitu juga tidak membiasakan kanak-kanak dan seumpamanya untuk bermain permainan yang terdapat di dalam perayaan tersebut, serta tidak menzahirkan perhiasan.

Bahkan hari perayaan mereka di sisi umat Islam adalah sama seperti hari-hari lain yang tidak dikhususkan oleh orang-orang Islam.

Bahkan ada sekumpulan ulama yang berpendapat kepada kekufuran mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini kerana terdapat pada perbuatan tersebut mengagungkan syiar-syiar yang kufur.

Berkata sebahagian ulama: Sesiapa yang menyembelih nathihah (haiwan) pada hari perayaan mereka seakan-akan dia menyembelih seekor khinzir.

Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash telah berkata: Sesiapa yang mencontohi negara-negara ‘ajam dan melakukan Nairuz dan mahrajan (perayaan) mereka serta menyerupai perbuatan mereka sehinggalah dia meninggal dunia dalam keadaan tersebut, maka dia akan dibangkitkan bersama-sama mereka pada Hari Kiamat.

Umar bin al-Khattab, para sahabat, dan keseluruhan para pemimpin umat Islam telah mensyaratkan supaya mereka tidak menzahirkan perayaan-perayaan mereka di negara umat Islam. Bahkan mereka (orang bukan Islam) hanyalah melakukannya (perayaan tersebut) di rumah-rumah mereka secara sembunyi.

Demikian juga mereka (para ulama) melarang dari perbuatan membantu mereka (orang bukan Islam) dalam perayaan mereka seperti memberi hadiah atau berjual beli.

Para pemerintah juga hendaklah melarang umat Islam dari melakukan perkara tersebut.

Thursday, 21 May 2026

KAWAN DAN MUSUH UMNO

 
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru. Parti ini diasaskan semasa Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu sebagai tindak balas terhadap pengenalan Malayan Union oleh kerajaan British, yang menggugat hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu. 

UMNO terus berjuang untuk Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Namun, ada ahlinya yang tidak puas hati apabila kalah dalam perebuatan jawatan. Maka lahirlah PAS yang disertai bekas sayap ulama UMNO.

PAS kembali bersama UMNO pada tahun 1973 dalam gabungan Barisan Nasional (BN). PAS menjadi sebahagian kerajaan Pusat. PAS meninggalkan UMNO pada tahun 1977 akibat krisis dalam sesama pemimpin PAS, khususnya di Kelantan.

PAS kembali sekali lagi bersama UMNO pada tahun 2019 dalam Muafakat Nasional (MN). PAS meninggalkan UMNO disebabkan lebih "sayang" kepada Bersatu.

Akibat krisis PAS di Kelantan bukan sahaja menyebabkan parti itu meninggalkan UMNO, tetapi juga lahirnya BERJASA yang ditubuhkan pada 1977 oleh bekas pemimpin PAS untuk lawan PAS.

BERJASA kembali bersama PAS dalam Gagasan Sejahtera pada tahun 2017. Pada 2026, BERJASA menghantar borang untuk mahu bersama PAS dalam Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan oleh PAS dengan Bersatu, sebelum disertai sama Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

PKR ditubuhkan pada 1999 oleh bekas pemimpin UMNO untuk melawan UMNO. Mereka ingun menguburkan UMNO dan berjaya menjatuhkan UMNO daripada tampuk kepimpinan negara pada PRU Ke-14 tahun 2018.

Pada tahun 2022, PKR kembali bersama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang mengembalikan PKR menjadi kerajaan selepas pernah menjadi kerajaan bermula 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020 selama 22 bulan.

Bersatu ditubuhkan pada tahun 2017 oleh bekas pemimpin UMNO untuk melawan UMNO. Pada tahun 2020, Bersatu kembali bersama UMNO dalam Kerajaan PN. Bersatu kembali berseteru dengan UMNO pada PRU Ke-15.

Parti mana pun yang menjadi kawan dan musuh UMNO, ahlinya kekal istiqamah berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Gambar - UMNO mendapat sokongan generasi muda.

Thursday, 23 April 2026

MEMPERKASAKAN PENDIDIKN ANAK ORANG ASLI

 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah manifestasi kerajaan untuk memajukan pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli.

SMK Panggung Jaya adalah sekolah khas untuk pelajar Orang Asli Kelantan, dan ada juga pelajar kaum Melayu yang tinggal berhampiran sekolah yang terletak di Kampung Panggung Lalat, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.

Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 

Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 

Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 

Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Poa Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Brooke, Pos Hendrop, Pos Pasik, Pos Pulat, Pos Hau, Pos Blau dan Pos Kuala Betis. 

Biarpun baru beroperasi beberapa tahun, SMK Panggung Jaya telah mencapai banyak kejayaan. Selain berjaya mengurangkan kadar keciciran pelajar di kalangan Orang Asli, ia telah berjaya mencatat kejayaan yang cemerlang melibatkan pelajar Orang Asli di pelbagai peringkat, termasuk di peringkat kebangsaan.

Kejayaan Nur Syafienaz binti Nazri, memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 adalah bukti yang cukup signifikan.

Wednesday, 22 April 2026

MAKSUD REBEN KUNING DI POKOK

 
Maksud reben kuning di pokok. Di Jerman, pada musim buah, di batang pokok atau dahan ada lilitan reben kuning. Apa maksud reben kuning itu? Jika di pokok ada reben kuning, itu bermakna sesiapa sahaja dialu-alukan untuk memetik buah itu secara percuma.

Di Jerman, mereka ada projek komuniti yang sangat menarik yang dikenali "gelbes band". (riben kuning). Konsep dia mudah. Pemilik pokok (sama ada pemilik persendirian atau pihak perbandaran) yang tidak memerlukan buah itu akan mengikat reben kuning di pokok berkenaan.

Itu tandanya mereka bagi kebenaran rasmi untuk sesiapa sahaja singgah dan memetik buah tu secara percuma tanpa perlu minta izin lagi. Dengan kata lain, reben itu bukan hiasan.

Matlamat tersebut bukan sahaja membantu atau melunaskan keinginan mereka yang ingin memakan buah tersebut, tetapi untuk mengelak pembaziran makanan.

Daripada buah tu jatuh ke tanah, busuk dan membazir macam itu sahaja, lebih baik mereka kongsi dengan orang ramai.

Antara pokok-pokok buah-buahan yang diikat reben kuning adalah pokok epal, pear, ceri, plum dan kacang walnut atau hazelnut.

Namun, walaupun sudah mendapat kebenaran terbuka, orang Jerman ni sangat mementingkan adab dan disiplin. Mereka akan mengambil sekadar yang diingini untuk dimakan sendiri atau dikongsi sedikit dengan orang lain.  

Mereka tidak tamak dan tidak pula "bersungguh-sungguh" memanjat. Biasanya mereka sekadar memetik buah sekadar yang mampu dicapai oleh tangan atau menggunakan galah pendek.

Kalau di pokok tiada reben kuning, jangan sekali-kali memetik buahnya. Itu satu kesalahan dan boleh dianggap melakukan jenayah yang boleh menjadi kes polis.

Kredit pemilik gambar dan catatan.

Thursday, 2 April 2026

SULTAN TOLAK HASRAT YAHUDI BELI TANAH

 
Sultan tolak hasrat Yahudi beli tanah. Sebelum British bersetuju “mengizinkan” Zionis Eropah menjajah Palestin, pejuang idealogi Zionis, Theodor Herzl pernah cuba untuk membeli tanah itu dari Kerjaan Turki Uthmaniyyah. Ada dicatatkan dalam sejarah Uthmaniyyah bahawa Herzl, pernah cuba untuk berbincang meminta Kerajaan Turki Uthmaniyyah untuk membeli dan membina sebuah negara untuk menempatkan orang Yahudi.

Ketika itu Palestin adalah di bawah penguasaan Empayar Uthmaniyyah, penguasaan ini termasuk tiga kota suci umat  Islam iaitu Makkah, Madinah dan Baitulmaqdis.

Sultan Abdul Hamid Hamid II yang memerintah Empayar Uthmaniyyah juga merupakan khalifah Islam di mana mereka memperoleh kewibawaan dan mendapat gelaran sebagai “penjaga” kota suci dunia Islam. 

Tetapi ketika itu Empayar Uthmaniyyah juga tidak lari dari masalah menanggung hutang yang banyak.

Pada tahun 1896, Herzl menyangka dengan keadaan ekonomi empayar Uthmaniyyah yang sedang tenat, dia merasakan inilah masa dan peluang terbaik untuk membeli tanah di Palestin. 

Herzl pergi ke Istanbul dengan harapan melakukan perjanjian yang dia sangka Sultan Abdul Hamid II tidak dapat menolak tawaran yang bakal diberikan olehnya.

Ketika itu Empayar Uthmaniyyah menanggung hutang terkumpul pada akhir abad ke-19 berjumlah AS$11.6 bilion.

Hutang-hutang itu dikawal melalui sistem yang dikenali dengan Pentadbiran Hutang Awam Uthmaniyyah (Ottoman Public Debt Administration), yang dikawal oleh kuasa besar Eropah ketika itu seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Austria, Itali dan Belanda.

Hal ini memberikan penguasaan terhadap penjajah Eropah mengawal gerak dan kuasa Empayar Uthmaniyyah yang pada akhirnya menyumbang kepada kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Menurut satu catatan sejarah, Herzl menawarkan untuk membayar 20 juta Pound Sterling, yang bernilai kira-kira 2.2 bilion Dolar Amerika hari ini, kepada Sultan Uthmaniyyah untuk mengeluarkan piagam agar orang-orang Yahudi  boleh menjajah Palestin.

Wang yang ditawarkan itu dijangka boleh mengurangkan sekitar 20 peratus daripada beban hutang Emapayar Uthmaniyyah. Dilaporkan bahawa Herzel turut berkata bahawa “tanpa bantuan Zionis, ekonomi Turki tidak akan berpeluang untuk pulih.” Begitulah apa yang dibicarKan oleh Herzl kepada Sultan Empayar Uthmaniyyah pada ketika itu.

Bagaimanapun, dua orang kanan Herzl, Philip de Newlinski dan Arminius Vambery, tidak yakin akan Sultan Abdul Hamid II akan menjual kota suci ketiga bagi umat Islam walaupun dalam keadaan ekonomi Empayar itu tidak mementu pada dan ketika itu.

Maka betullah sangkaan mereka kerana Sultan Abdul Hamid II menolak tawaran itu dengan tegas pada tahun 1896, dengan mengatakan kepada Newlinski, “jika Tuan Herzl adalah teman anda dan seperti anda, maka nasihatkan dia untuk tidak meneruskan rancangannya.

Kata Sultan Abdul Hamid II: “Saya tidak akan menjual sebidang tanah pun, kerana tanah itu bukan milik saya melainkan bangsaku. Bangsaku yang telah memenangkan Empayar ini dengan memperjuangkannya dengan darah mereka dan telah mereka telah membajakan bumi itu dengan darah mereka. Kami akan terus melindunginya dengan darah kami dan tidak akan membiarkannya dilenyapkan dari kami .”

Tanah Palestin mula dijual kepada Yahudi setelah Sultan Abdul Hamid II digulingkan oleh Gerakan Turki Muda. Gerakan Turki Muda membenarkan tanah dijual kepada Yahudi kerana terhutang budi dengan golongan itu yang membantu mereka menggulingkan Sultan Abdul Hamid II.