Sunday 4 February 2018

HARI TENGGILING SEDUNIA

Sejak tahun 2012, pada setiap hari Sabtu ketiga bulan Februari, National Geography telah mengisytiharkan sebagai sambutan Hari Tenggiling Sedunia.

Tenggiling pun ada Hari Tenggiling Sedunia. Tentu sekali National Geography ada alasan tersendiri mengapa memilih satu hari untuk diperingatkan sebagai Hari Tenggiling Sedunia.

Seperti hari-hari sempena habitat atau haiwan liar lain, sambutan Hari Tenggiling Sedunia ini adalah bertujuan untuk kempen kesedaran awam bagi pemuliharaan haiwan liar berkenaan.

Dalam usaha kempen kesedaran ini kombinasi seni, literasi, sains dan sosial didedahkan kepada masyarakat umum agar maklumat pemuliharaan tenggiling ini sampai kepada masyarakat seluruh dunia.

Berbagai-bagai aktiviti diadakan seperti melukis, mewarna, bercerita, seminar saintifik tentang tenggiling dan menerangkan kenapa ia perlu dipulihara.

Tenggiling seperti hidupan lain semakin terancam. Habitat mereka dirosakkan oleh proses pembangunan dan kerakusan manusia mengeksplotasi sumber alam.

Paling ketara sekarang ini tenggiling menjadi buruan peniaga tenggiling yang merentasi sempadan antara bangsa. Permintaan terhadap tenggiling sebagai makanan eskotik amat tinggi.

Permintaan tinggi untuk makanan dan perubatan tradisional ini menyebabkan populasi tenggiling ini berkurang dengan cepat di Asia dan spesies lain umumnya di Afrika.

Walaupun kajian saintifik tidak menunjukkan ada nilai perubatan namun permintaan sisik tenggiling masih tinggi.

Tenggiling ini adalah antara haiwan yang banyak ditangkap dan diseludup dengan aktifnya kerana manusia suka memakan daging dan menggunakan sisiknya.

Selain untuk rawatan seperti yang dinyatakan, tenggiling juga dikaitkan dengan penyakit sendi dan asma atau lelah.

Permintaan tinggi terhadap daging haiwan eksotik terutama oleh pembeli di China, Vietnam dan Laos menyebabkan tenggiling semakin kerap diseludup ke negara berkenaan.

Harga tenggiling boleh mencapai RM1,400 sekilogram di restoran Vietnam berbanding RM88 untuk pemburu dan antara RM180 hingga RM1.060 untuk penyeludup.

Mereka yang melakukan kesalahan boleh dihadapkan ke mahkamah mengikut seksyen-seksyen berkaitan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

No comments:

Post a Comment