Siti Rubiah merupakan seorang anak
gadis desa yang berasal dari Kampung Pengkalan Permatang, Kuala Selangor. Beliau mempunyai perwatakan yang menarik dan menawan sehingga membuatkan
ramai pemuda desa dari berbagai ceruk kampung ingin mempersuntingnya sebagai
isteri mereka.
Kecantikan yang dimiliki oleh Siti Rubiah bukan sahaja telah menggoda semua jiwa raga para pemuda kampung malah menjadi rebutan orang bunian. Siti Rubiah yang menjadi anak kepada seorang nelayan yang bernama Pak Selamat dikatakan telah menjalinkan hubungan dengan putera raja bunian yang bernama Raja Shah Dewa Safri, putera Raja Dewa Shahrul Bari. Hubungan mereka terjalin begitu lama tanpa pengetahuan ahli keluarga Siti Rubiah.
Suatu hari, keluarga Siti Rubiah telah berhasrat untuk menikahkan Siti Rubiah dengan pemuda pilihan keluarganya. Siti Rubiah yang tidak bersetuju dengan pilihan keluarganya telah melarikan diri pada malamnya dengan menggunakan rakit menuju ke Tanjung Keramat untuk bertemu kekasihnya Raja Shah Dewa Safri.
Kehadiran Siti Rubiah ke Tanjung Keramat telah ditunggu oleh Raja Shah Dewa Safri dengan penuh rasa gembira.
Sebagai tanda kehadirannya ke Tanjung Keramat, Siti Rubiah pun meletakkan selendang yang dipakainya di atas puncak Tanjung Keramat. Kemudian, Siti Rubiah dan Raja Shah Dewa Safri berakit menuju ke utara melalui Selat Melaka.
Sementara itu kehilangan Siti Rubiah telah menjadi buah mulut orang kampung. Ahli keluarga Siti Rubiah berusaha mencari Siti Rubiah tetapi gagal hinggalah mereka ke Tanjung Keramat.
Di puncak Tanjung Keramat mereka pun menemui selendang yang ditinggalkan oleh Siti Rubiah dan mereka beranggapan Siti Rubiah telah dimakan binatang buas. Sebagai tanda kehilangan Siti Rubiah di Tanjung Keramat, maka ahli keluarganya telah membuat sebuah kubur tanda sebagai tempat memperingati kehilangan Siti Rubiah.
Sementara itu, dalam merentasi badai laut, akhirnya Siti Rubiah berehat sebentar di sebuah yang dipanggil sebagai Pulau Sembilan untuk berehat melepaskan lelah yang kian mencengkam jiwa.
Setelah beberapa hari di Pulau Sembilan, Siti Rubiah dan Raja Shah Dewa Safri pun meneruskan perjalanan hingga sampai ke suatu kawasan pantai yang tidak jauh dari Pulau Katak dan kawasan itu kini dikenali sebagai Teluk Rubiah sempena namanya.
Sampai sahaja di Teluk Rubiah, Siti Rubiah telah disambut oleh dayang-dayang istana sambil menebar bunga rampai. Kemudian, Siti Rubiah diberi persalinan agar memidahkannya memasuki alam ghaib. Maka hidup berbahagialah Siti Rubiah di alam bunian hingga beranak cucu.
Pada suatu malam, ibu Siti Rubiah mendapat mimpi tentang keberadaan anaknya lalu pada keesokkan harinya, ahli keluarga Siti Rubiah pun pergi ke tempat yang dimaksudkan iaitu Teluk Rubiah. Sampai di Teluk Rubiah, ibunya telah menemui rakit yang digunakan oleh anaknya masih tersadai ditepi pantai.
Kemudian, ibunay menemui satu gua yang menghala ke laut lalu memasukinya. Ketika memasuki gua tersebut, ibu Siti Rubiah melihat perhiasan anaknya bertaburan di atas pasir. Tidak lama kemudian, Siti Rubiah pun muncul bersama suaminya Raja Shah Dewa Safri lalu mereka berpelukan.
Kemudian, Siti Rubiah pun menceritakan semua peristiwa yang berlaku kepada ibunya dan berharap ibu dan bapanya merestui perkahwinannya.
Siti Rubiah juga berharap agar ibu bapanya jangan merasa khuatir dan berjanji akan sentiasa kembali ke Kuala Selangor setiap malam Jumaat. Dengan penuh kesedihan, ibu bapanya terpaksa menerima takdir yang menimpa dan berharap Siti Rubiah kembali ke Kuala Selangor.
Seperti yang dijanjikan, Siti Rubiah kerap kali kembali ke Kuala Selangor dengan ditemani oleh seekor harimau bernama Si Cengkih (seekor harimau yang memiliki tubuh sebesar seekor lembu, kepala sebesar talam makan, mata sepet sebelah dan kedua-dua kaki di bahagian hadapan pendek). Dikatakan Siti Rubiah telah diberi tugas sebagai penjaga tana hair dari Lumut hingga ke Kuala Selangor.
Kisah Siti Rubiah atau dikenali Keramat Anak Dara sebenarnya masih misteri. Banyak versi yang disampaikan dari mulut ke mulut sehingga ia menjadi lagenda setempat. Kisah yang disiarkan ini adalah kisah asal yang peroleh dari orang-orang tua lama yang pernah tinggal di Teluk Rubiah suatu ketika dahulu.
Sumber – Media sosial.
No comments:
Post a Comment