Sunday 4 April 2021

SISTEM BARTER TUKAR BARANG MASIH RELEVAN DIAMALKAN


Sistem barter ialah amalan pertukaran barang tanpa melibatkan mata wang. Amalan tersebut diamalkan masyarakat dahulu ketika belum diperkenalkan atau digunakan matawang.

Bagaimanapun, sistem itu masih digunakan atau relevan diamalkan dalam keadaan tertentu apabila ada persetujuan bersama dari segi nilai barangan yang ditukarkan itu.

Dalam ekonomi moden, kehendak manusia adalah pelbagai dan kegiatan manusia adalah luas termasuk di dalam dan di luar negara. Oleh itu, sistem barter mempunyai banyak kelemahan jika dipraktikkan dalam masyarakat moden. Antara kelemahan-kelemahannya ialah:

1. Penemuan kehendak beregu.
Kedua-dua pihak A dan B harus mempunyai kehendak yang saling menggenapkan sebelum pertukaran boleh dilakukan. Pihak A harus dapat menawarkan barang X yang dikehendaki oleh B dan pada masa sama pihak A juga harus mempunyai keinginan kepada barang Y yang ditawarkan oleh B. Kadangkala proses pemadanan kehendak yang sesuai mengambil masa yang lama sebelum proses pertukaran boleh dilakukan. Masalah penemuan kehendak bergu ini merupakan masalah paling utama dalam sistem pertukaran barter.

2. Kesukaran menentukan nilai pertukaran.
Semasa pertukaran barang ,sukar untuk menilai dan menentukan kadar pertukaran antara barang yang diingin tukar kerana tiada nilai piawai yang boleh diikuti.

3. Masalah membahagi barang kepada bahagian yang kecil.
Sesetengah barang seperti binatang ternakan tidak boleh dibahagikan kepada unit-unit yang lebih kecil. Contohnya jika seorang penternak memerlukan seekor ayam sedangkan dia mempunyai seekor kambing,adalah tidak wajar baginya untuk memotong sebahagian daripada kambingnya untuk ditukarkan dengan ayam.

4. Masalah simpanan nilai.
Oleh kerana sebahagian besar barangandalam masyarakat primitif itu merupakan hasil pertanian yang mudah rosak dan tidak tahan lama, maka pertukaran yang melibatkan barangan yang tidak tahan lama adalah tidak sesuai untuk ditukarkan, kecuali ia hendak digunakan dengan segera. Akan tetapi, pertukaran selalunya berasaskan barangan lebihan yang tidak akan digunakan dengan segera. Memang ternyatalah bahawa kebanyakan pihak tidak ingin melangsungkan pertukaran untuk memperoleh barangan lain yang tidak tahan lama dan tidak mempunyai ciri simpanan nilai.

5. Barang tidak tahan lama.
Barang yang tidak tahan lama atau tidak mempunyai simpanan nilai yang cepat rosak seperti ikan dan sayur perlu ditukarkan dengan segera. Jika tidak, ia akan rosak dan ini akan merugikan pemilik kerana nilai barang tersebut akan berkurangan.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan, harus diakui bahawa ekonomi yang menggunakan sistem barter atau pertukaran secara langsung itu merupakan satu sistem yang lebih baik daripada sistem sebelumnya, iaitu sistem mampu diri.

Sistem barter membolehkan pengeluaran ditingkatkan sebab terdapat kemungkinan pertukaran. Kemungkinan pertukaran telah menggalakkan unit-unit ekonomi menghasilkan pengeluaran yang melebihi keperluannya sendiri.

Pertukaran juga membolehkan unit-unit ekonomi menikmati barangan yang sebelumnya tidak pernah dinikmati. Walaupun terdapat kemungkinan pertukaran, proses pertukaran itu tidak sempurna.

Banyak pertukaran tidak dapat dijalankan kerana masalah-masalah tersebut dan juga masalah-masalah lain seperti tidak mempunyai sistem penilaian am dan wujudnya kos dalam ekonomi.

Oleh itu, pertukaran di bawah sistem barter adalah terhad. Sebahagian masalah itu berpunca daripada kekangan bahawa barangan itu harus ditukarkan satu demi satu dan secara langsung.

No comments:

Post a Comment