Sunday, 4 February 2018

SEPAKAT SOAL KEBAIKAN

Penyatuan manusia sebenarnya banyak melibatkan tatacara bagaimana hubungan dilangsungkan, baik secara fizikal maupun rohani. Islam menekankan cara hidup yang menekankan akhlak mulia, kasih sayang, saling menghormati, hidup bersama, bersatu dan bersetia.    

Islam melarang sama sekali dilakukan perbuatan yang membawa kepada permusuhan dan kemusnahan. Sebab itu, jalinan persaudaraan adalah satu perintah yang mesti ditunaikan sebagai tanda mentaati Allah. 

Sesiapa yang menjalin persaudaraan dengan ikhlas mematuhi kehendak agama, dia melakukan usaha untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. 

Sebaliknya, sesiapa memutuskan hubungan sesama manusia, samalah dia memutuskan hubungannya dengan Allah.

Persaudaran sesama Muslim adalah ikatan iman, yang mana sesiapa melepaskan ikatan itu bermakna melepaskan dirinya daripada kelompok orang Muslim. 

Perbuatan itu merobohkan kekuatan binaan persaudaraan Islam yang kesannya dialami seluruh umat Islam.

Persaudaraan atas dasar iman tidak akan terputus biarpun dilanda hebat dengan berita fitnah, adu domba dan gosip.  Sebarang keraguan yang wujud diselesaikan secara bersemuka dan berterus terang. 

Apa yang keruh dijernihkan, yang rapuh diperteguhkan dan yang hampir putus disambung kembali.

Semua masalah berkaitan persaudaraan dapat diselesaikan dengan mudah jika masing-masing memikirkan amanah agama mengatasi segala-segalanya.

Kemuncak kemanisan hubungan persaudaraan ialah bersedia memaafkan atau menerima kelemahan saudaranya tanpa sebarang syarat.

Justeru, Islam menegah sama sekali wujud rasa kebencian, permusuhan, dendam, irihati dan mementingkan diri sendiri.  Sifat-sifat itu dijelaskan oleh Allah sebagai punca perpecahan sesama manusia dan sifat keji yang diumpamakan seperti memakan daging manusia. 

Berdasarkan penilaian rohani, individu yang mementingkan ikatan persaudaraan mengamalkan kehidupan penuh aman dan tenang.  Dia sentiasa merasakan semua orang yang berada di sekelilingnya adalah saudaranya. 

Di dalam diri individu yang mementingkan ikatan persaudaraan tidak wujud perasaan dengki dan bermusuhan.  Setiap kejayaan yang dicapai dan dinikmati oleh orang lain dia turut merasa bersyukur sepertimana dia sendiri mendapatnya. 

Manakala kejayaan yang diperoleh dirinya dikongsikan bersama-sama orang lain. 

No comments:

Post a Comment