Tuesday 17 December 2019

PELUANG SERTAI TERJUNAN UDARA

Dahulu penerjunan payung terjun hanya dilakukan oleh anggota tentera. Itupun tidak semua anggota tentera mempunyai kelayakan untuk melakukan penerujunan payung terjun.

Namun, sekarang ini orang awam pun boleh menyertai aktiviti penerjunan payung terjun. Sekarang ini ada kelab payung terjun yang boleh disertai oleh orang awam. Mereka akan menjalani latihan dan seterusnya mendapat lesen penerjunan daripada badan profesional antarabangsa.

Satu lagi peluang orang awam mengalami pengalaman terjunan udara ialah dengan mengikuti aktiviti disediakan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan yang berkenaan.

Peluang ini baharu sahaja disediakan di negara kita. Namun di luar negara aktiviti itu telah lama disediakan.

Antara negara pilihan untuk melakukan skydiving ini ialah di Quenstown, New Zealand. Aktiviti ini menjadi daya tarikan pelancong ke Quenstown.

Sebelum melakukan terjunan udara atau skydiving ini, peserta akan terlebih dahulu diberi taklimat.

Sebenarnya, ketika terjunan udara itu peserta tidak terjun berseorangan. Sebaliknya, diikuti bersama dengan master penerjun atau tandem master.

Tandem master akan berada di bahagian belakang yang akan mengendalikan terjunan udara itu seperti membuka payung terjun dan mengawal pergerakan arah payung terjun sehinggalah mendarat.

Dengan kata lain, peserta hanya perlu menyediakan ketahanan mental untuk terjun dari paras 12,000 kaki dan melalui pergerakan jatuh dengan kelajuan 200 kilometer sejam.

Memandangkan di Malaysia juga sudah ada perkhidmatan untuk sesiapa melakukan terjunan udara, elok jika yang berminat melakukannya tidak perlu lagi ke luar negara.

Permintaan terhadap aktiviti terjun udara semakin bertambah di Malaysia. Namun, diharap pelbagai pihak dapat memajukan aktiviti ini terutama untuk menyediakan kemudahan serta lokasi yang sesuai.

Terjunan udara juga berpotensi menjadi produk pelancongan tempatan untuk dipromosikan kepada pelancong asing yang berminat melakukan aktiviti rekreasi ekstrem berkenaan di Malaysia.

Terjunan udara mempunyai keunikan tersendiri kerana penerjun dapat merasai tahap keberanian yang maksimum dalam berekreasi dan seperti kita tahu ramai golongan muda di Malaysia gemar melakukan aktiviti rekreasi ekstrem.

No comments:

Post a Comment