Friday 1 October 2021

SEBAB NAMA KAMPUNG ADA PERKATAAN ‘KOK’

 
Di Kelantan terdapat nama tempat atau kampung yang dimulai dengan perkataan 'kok'. Paling banyak kampung dimulai atau ada perkataan ‘kok’ adalah di Tumpat. 

Di Tumpat terdapat beberapa nama seperti Kampung Kok Keli, Kampung Kok Pasir, Kampung Kok Timun, Kampung Kok Majid, Kampung Kok Bedolah, Kampung Kok Semru, Kampung Kok Serai, Kampung Baroh Kok Pauh, Kampung Atas Kok, Kampung Kok Beluru, Kampung Kok Tok Leh dan Kampung Kok Seraya.

Di daerah Pasir Putih ada Kampung Kok Berangan dan Kampung Kok Jering. Manakala di Kota Bharu ada Kampung Kok Pasir di Jalan Pengkalan Chepa. 

Di kawasan Gunung, Bachok pula ada nama Kampung Kok Lintang. Kem Desa Pahlawan atau juga dikenali Kem Bukit Cina terletak dalam kawasan Kok Lanas yang sekarang ini semakin berkembang maju. 

Tidak pasti mengapa nama-nama kampung berkenaan dimulakan dengan nama 'kok'.

Dalam dialek Kelantan, perkataan 'kok' membawa beberapa erti, seperti agak-agak, tanda atau bekas yang menunjukkan sesuatu jalan dan lain-lain yang sering digunakan. 

Perkataan 'kok' juga bermaksud ikut suka hati apa ingin dilakukan. Perkataan kok mu, bermaksud ikut suka hati kamu, atau terpulang kepada kamu.  

Maksud lain perkataan 'kok' ialah tempat yang tidak pasti. 

Kok juga bermaksud tempat yang lebih tinggi berbanding tempat di sekitarnya mengambil kata asal perkataan Siam 'khok'. Di kawasan Tumpat terdapat banyak orang Siam tinggal di situ. Kemungkinan perkataan kok itu bermaksud tinggi.

Sebenarnya, selain di Kelantan, terdapat tempat lain di Malaysia yang dimulai dengan perkataan ‘kok’. Contohnya di Langkawi terdapat Kampung Kok. Di Perlis pula terdapat nama Kampung Kok Mak.

Di Perlis dan Kedah juga terdapat banyak penduduk berketurunan Siam.

Namun, memandangkan tidak bukti jalas mengenai mengapa nama berkenaan ada perkataan ‘kok’, maka boleh dikatakan sejarah asal nama kampung-kampung berkenaan berkaitan sesuatu yang tidak pasti, tanda sesuatu jalan laluan yang biasa digunakan atau tempat lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment