Monday 14 August 2023

SEJARAH BANDAR BALING CUKUP MENARIK

 
Daerah Baling merupakan daerah yang kedua terbesar di negeri Kedah dengan keluasan 1,530 kilometer persegi. Ia bersempadan dengan negara Thailand dan negeri Perak di sebelah timur, bersempadan dengan daerah Sik dan Kuala Muda di sebelah barat manakala daerah Kulim di sebelah selatan.
 
Bentuk muka bumi daerah Baling diliputi dengan kawasan tanah pamah di tengah dan kawasan berbukit bukau di bahagian dekat sempadan Thailand. Sungai utama melalui bandar Baling ialah Sungai Ketil. 
 
Bandar Baling adalah bandar terbesar di daerah Baling. Pada sekitar 1980-an apabila Lebuh Raya Timur Barat dibuka, pengguna jalan raya yang ingin ke daerah lain di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis “wajib” melalui bandar Baling. Laluan bermula dari Gerik menuju ke Pengkalan Hulu dan seterusnya memasuki sempadan negeri Kedah sebelum sampai di bandar Baling.
 
Bagaimanapun sekarang ini sudah ada jalan pintas dari Gerik terus menuju ke Kupang yang lebih selesa dan dekat. Jadi, kebanyakan yang ingin ke Utara tidak lagi melalui bandar Baling.

Di bandar Baling terdapat beberapa bukit batu kapur yang menjadi tarikan pengunjung. 
 
Dalam sejarah negara, Baling terkenal kerana di situ berlaku atau diadakan Rundingan Damai Baling pada 29 Disember 1955 di antara kerajaan Tanah Melayu dengan pihak komunis.
 
Rundingan damai di antara kerajaan dengan pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya yang telah dibuat pada 9 September 1955.
 
Rundingan damai ini telah diadakan di Sekolah Inggeris Baling, Kedah dan berlangsung di dalam empat sesi bermula pada Disember 1955. Pihak Kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura, En. David Marshall, serta Datuk Sir Tan Cheng Lock. Manakala di pihak komunis pula diwakili oleh Ching Peng, Chen Tian dan Abdul Rashid Maidin.
 
Dalam rundingan itu Tunku Abdul Rahman telah menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan beramai-ramai dan tentang pergolakan politik negara ini. Beliau menyakinkan pihak Komunis bahawa Tanah Melayu sedang dalam perjalanan ke arah mencapai kemerdekaan dan dengan demikian mereka mestilah menghentikan keganasan.
 
Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa di atas apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan. Walau bagaimanapun kerajaan akan membuat penyiasatan ke atas mereka yang menyerah diri.
 
Rundingan itu berakhir dengan kegagalan apabila pihak komunis menolak tawaran tersebut dan kembali ke hutan untuk meneruskan pemberontakan atau penentangan bersenjata terhadap kerajaan.

No comments:

Post a Comment