Sunday 24 March 2024

MAJLIS CUKUR JAMBUL

 
Dalam Islam, mencukur rambut bayi yang baharu lahir disebut oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama". (Hadis riwayat Ahmad)
 
Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada cucu-cucunya, Hasan dan Husain, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah dan memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua..
 
Mencukur rambut sehingga licin sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil lelaki atau perempuan sebagai manusia dan hamba di sisi Allah.
 
Dari segi kesihatan, ia dapat membersihkan saki baki kotoran pada kepala bayi semasa di dalam rahim. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang anak itu bersama akikahnya, maka tumpahkan darah sembelihan dan bersihkanlah penyakit / kotoran (dari kepalanya)”. (Hadis riwayat Bukhari)
 
Rambut yang dicukur kemudian ditimbang. Berat rambut itu kemudian disamakan dengan nilai perak untuk berat yang sama. Jumlah nilai perak itu kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak.
 
Perlu diingat, sunahnya adalah mencukur keseluruhan rambut dan bukanlah menggunting sedikit rambutnya.
 
Di Malaysia, majlis bercukur bayi sudah menjadi adat yang dipanggil “cukur jambul”. Adat yang tidak menyalahi hukum syarak tidak salah untuk diamalkan, termasuklah jika dihadiri bukan beragama Islam.  
 
Sunah tidak menjelaskan siapa yang perlu mencukur rambut bayi itu. Sesiapa pun boleh mencukurkan asalkan tidak mencederakan kepala bayi itu. Tetapi menjadi adat yang diamalkan, rambut bayi itu bukannya dicukur, tetapi dipotong menggunakan gunting. Setiap tetamu atau hanya sebahagian yang hadir akan memegang hujung rambut bayi dan dipotong sedikit. Potong sedikit kerana ingin memberi peluang kepada yang lain turut dapat memotong.
 
Tidak kisahlah hendak potong sedikit-sedikit dengan gunting, tetapi apa yang disarankan oleh sunah ialah mencukur kesemua rambut itu. Maksudnya, selepas majlis perlulah dicukurkan sepenuhnya. Itupun kalau hendak ikut sunah. Kalau tidak melakukannya bukanlah dosa.
 
Namun, alang-alang telah melakukannya, mengapa tidak dicukurkan sepenuhnya. Ikutlah sunah. Dapat pahala melakukan apa yang disuruh.
 
Elakkan melakukan amalan adat seperti menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak yang menyerupai budaya Hindu. Ini kerana amalan bercukur turut diamalkan di kalangan masyarakat India yang beragama Hindu.
 
Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang diamalkan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa.
 
Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa. Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?
 
Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.
 
Sebenarnya, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan jamuan. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.
 
Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan.
 
Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah SWT. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan.
 
Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.
 
Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.
 
Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil.
 
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
 
Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk.
 
Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan rantai emas atau perak di sekelilingnya diletakkan di dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.
 
Sambil para hadirin berselawat dan berzanji, bayi didukung oleh bapa atau datuknya kemudian hadirin bergilir-gilir menggunting sedikit rambut bayi.

Bagaimanapun satu persoalan timbul; sejauh manakah adat yang diwarisi sejak turun temurun oleh masyarakat Melayu di negara ini selari dengan syariat Islam?

Adat itu pada asasnya tidak bertentangan dengan syariat Islam, namun tindakan masyarakat yang menokok tambah perkara lain serta tidak melakukan amalan itu berdasarkan syariat Islam sebenarnya membuatkan hukum majlis cukur jambul ada yang menyalahi ajaran Islam.

Namun apa yang menjadikan amalan itu bukan sunah apabila rambut bayi itu tidak dicukur sepenuhnya selepas majlis itu dan tiada pahala diperoleh daripada hanya mengunting sedikit rambut bayi yang baru lahir itu.

Majlis cukur rambut tidak wajib disertakan dengan marhaban atau berzanji memadai dengan bersyukur sahaja melainkan jika diadakan akikah bolehlah diadakan jamuan.

Namun disebabkan rasa gembira menerima cahaya mata baru, masyarakat mengadakan majlis itu secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan.

Perbuatan mengadakan majlis tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak maka ia menjadi satu kesalahan.

Bayi yang baru dilahirkan seharusnya tidak didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil supaya mampu membesar menjadi orang yang berguna kelak.

Adat mencukur jambul itu sebagai satu cara yang amat baik memperkenalkan cahaya mata baru kepada seluruh anggota keluarga terutama yang tinggal jauh di perantauan.

Cara ini dapat meningkatkan kemesraan antara keluarga di samping mendekatkan hubungan antara anggota keluarga daripada usia muda mereka, selain itu ia boleh mengeratkan lagi hubungan keluarga kita dengan masyarakat setempat.


No comments:

Post a Comment