Sunday 6 October 2024

BELAJAR BERENANG SATU KEPERLUAN

 
Rasulullah SAW ada menyebut mengenai belajar berenang dan mempunyai kemahiran berengan. Tentu kita terfikir mengapa perlu belajar berenang, sedangkan di padang pasir tidak banyak tempat berair. Sebenarnya, inilah keperluan peringkat global yang dilihat oleh Rasulullah SAW.

Umat Islam mesti bergerak ke serata alam untuk menyebarkan Islam. Salah satu persiapan ialah kemahiran yang bersesuaian dengan tempat yang dituju.

Penggunaan kapal menjadi pengangkutan utama pendakwah Islam bergerak ke seluruh pelusuk dunia, termasuk di Melaka yang menjadi pelabuhan utama dunia pada masa lalu.

Dalam sejarah Islam turut tercatat mengenai pembentukan tentera laut yang besar dilakukan Muawiyah Abi Sufian, sehingga berjaya menyeberangi Laut Mediterranean dan seterusnya menguasai Andalusia (Sepanyol).

Jika umat Islam hanya memikirkan keperluan setempat, sudah pasti tidak ada siapa yang ingin belajar berenang ketika zaman Rasulullah SAW. Pemikiran Rasulullah SAW melepasi batasan masa dan geografi mengajar sesuatu yang penting untuk kebaikan umat Islam.

Individu yang berfikiran lahiriah mudah terpesona dengan kekuatan luaran. Bersukan menampilkan ciri-ciri kekuatan luaran. Lihatlah susuk badan ahli sukan. Kelebihan ini ada manfaatnya.

Catatan sejarah membuktikan kekuatan fizikal Rasulullah SAW berjaya mengislamkan seseorang. Kisahnya, ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim pernah mencabar Rasulullah SAW membuktikan mukjizatnya.

Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah SAW menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah SAW memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.

Pastinya keadaan yang sama berlaku di mana-mana. Apa yang penting, sukan berjaya mendedahkan masyarakat umum mengenai Islam. Manusia mudah terpesona dengan sesuatu yang hebat.

Sukan di samping mempunyai faedah lahiriyah, turut mendatangkan faedah batiniah atau rohani. Bersukan mengajar kepada semangat kerjasama, jatidiri, tabah, jujur, ikhlas, tidak mudah menyerah kalah, rajin, kesungguhan dan nilai murni lain. Sifat yang tertanam dalam diri tidak hanya diamalkan ketika bersukan, tetapi diterapkan juga dalam aktiviti lain.

Sukan kini mengandungi nilai ekonomi yang tinggi. Kelab bola sepak, bola keranjang dan pemotoran kini berstatus syarikat gergasi yang tersenarai di bursa saham. Pendapatan pemain profesional telah mencecah puluhan jutaan ringgit setahun.

Mencari rezeki melalui sukan tidak menyalahi syariat Islam. Ganjaran yang disediakan dapat menaikkan semangat dan keupayaan ahli sukan. Mengikut riwayat, Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya. (Riwayat Ahmad).

Peluang ini mesti direbut sepenuhnya. Ia turut melibatkan keuntungan ekonomi kepada industri pelancongan, pengangkutan, pengiklanan, penyiaran, peralatan sukan dan peralatan kesihatan. Semua ini melibatkan keuntungan yang besar kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam aktiviti sukan dan masyarakat seluruhnya.

Tidak dinafikan, mengapa negara Barat mementingkan sukan adalah untuk menjana ekonominya. Masyarakat dunia mengenali Sepanyol, Itali, Jerman, Argentina, Brazil dan Britin melalui liga bola sepak yang diminati masyarakat seluruh dunia.

Umat Islam perlu melihat sukan melalui prespektif yang luas. Jadikan sukan senjata membina kekuatan setanding dangan masyarakat lain.

Imam Ibnul-Qayyem di dalam kitabnya ‘Zad-Al-Ma`aad’, menyatakan pergerakkan ialah asas kepada sukan. Ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan immuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit. 

Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengannya. Bagi menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba-lari, merupakan sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan.

No comments:

Post a Comment