Friday, 30 May 2025

LOKOMOTIF KELAS 20 TERMODEN PADA ERANYA

 
Lokomotif (kepala kereta api) Kelas 20 adalah jenis diesel elektrik memasuki senarai aset Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 1957. Ia lokomotif diesel elektrik pertama diperkenalkan di Malaysia (Tanah Melayu ketika itu).  
 
Kelas ini terdiri daripada 26 lokomotif yang dihasilkan oleh oleh The Vulcan Foundry Ltd dan The English Electric Co di Lancashire, England pada tahun 1957 dan 1958 dan merupakan diesel utama pertama untuk kereta api tersebut.
 
Dilengkapi dengan unit kuasa yang sama seperti kelas 31 British Railways, menghasilkan kuasa 1500 kuasa kuda.
 
Lokomotif ini dihantar dalam warna hijau dengan jalur kuning yang merupakan hiasan yang digunakan oleh beberapa perkhidmatan kereta api di beberapa negara kolonial British ketika mereka mula-mula menggunakan diesel.
 
Sebab itu, dalam gambar lama terdapat lokomotif Kelas 20 yang berwarna hijau, sebelum ditukar kepada warna coklat atau perang tua.
 
Terdapat 26 buah lokomotif Kelas 20 diterima KTMB (ketika itu dikenali Malayan Railways) secara berperingkat iaitu pada tahun 1957 dan 1958, menggantikan lokomotif berkuasa wap sebelum itu secara berperingkat.
   
Ia mengendalikan hampir kesemua perkhidmatan KTMB, sama ada pengangkutan barang atau penumpang, di seluruh rangkaian KTMB. Kelajuan maksimun adalah 96 km/j.
 
Pengenalan lokomotif Kelas 20, selain penggunaan angka 20 diikuti tiga angka jujukan, ia dikenali dengan nama-nama bunga. Lokomotif 20101 Bunga Raya telah dirasmikan pada 31 Julai 1957 oleh Menteri Pengangkutan, Ong Yoke Lin.
 
Berikutan faktor usia dan kemampuannya yang terhad, lokomotif Kelas 20 digantikan secara berperingkat, dan akhirnya ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 1988 dan ada catatan mengatakan sehingga 1991.
 
Khidmat lokomotif Kelas 20 selama tiga dekad dengan KTMB adalah satu catatan sejarah gemilang yang mewarnai perkembangan dan kejayaan syarikat kereta api utama di Malaysia.

No comments:

Post a Comment