Dalam
kitab fikah berkaitan cara menyucikan bahagian badan atau lain-lain yang
terkena najis berat iaitu anjing dan babi disebut sebagai ‘samak’. Samak najis
berat atau juga dikenali najis mughallazah dilakukan dengan tujuh kali mencuci
di mana salah satunya menggunakan air yang dicampurkan dengan tanah dan enam lagi
menggunakan air mutlak.
Istilah
samak atau menyamak memang difahami ramai kerana istilah itu telah lama
digunakan secara meluas dalam kitab fikah dan apa-apa ucapan atau tulisan untuk
menjelaskan mengenai cara menyucikan najis berat.
Namun,
tentu ramai yang tidak faham dengan maksud ‘sertu’, ‘disertu’ atau ‘menyertu’.
Mari
kita semak definisi istilah ‘sertu’ dan ‘samak’ secara dalam talian Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Definisi
sertu: menyertu menyucikan mana-mana bahagian badan yg terkena najis
mughallazah (anjing dan babi) dgn air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam
kali, menyamak. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Definisi
samak: zat yg digunakan utk memasak serta mewarnai kulit binatang: kulit ~
kulit yg sudah dimasak dan diwarnai. menyamak 1 memasak kulit supaya lembut dan
berwarna. 2 menggosok tali layang-layang dgn kaca. 3 membersihkan najis
mughallazah dgn air tanah sekali dan air mutlak enam kali. penyamakan 1
perbuatan atau hal menyamak kulit. 2 tempat menyamak kulit. penyamak 1 orang yg
kerjanya menyamak kulit. 2 bahan yg digunakan utk menyamak kulit. (Kamus
Pelajar Edisi Kedua)
Jelas
di sini, definisi sertu dan samak adalah sama untuk merujuk kepada cara
menyucikan najis berat.
Bezanya,
perkataan samak juga digunakan atau merujuk kepada maksud lain. Sedangkan
perkataan sertu hanya merujuk kepada cara menyucikan najis berat.
Jadi,
untuk elak keliru atau membawa banyak maksud, elok kita menggunakan istilah
atau perkataan ‘sertu’ bagi merujuk kepada cara menyucikan najis berat atau
najis mughallazah.
No comments:
Post a Comment