Sunday, 3 January 2021

KHASIAT ULAM MEMBANTU KESIHATAN LEBIH BAIK


Lebih daripada 120 ulam-ulaman tradisional terdapat di Malaysia sama ada ulam-ulaman kecil yang tumbuh melata seperti pegaga, pokok-pokok renek dan sehinggalah pokok-pokok besar seperti petai dan jering.

Banyak yang suka makan pucuk paku, bertambah sedap kalau dibuat kerabu. Ulam bukan sahaja diminati orang Melayu, tetapi juga kaum lain di negara kita. 

Pucuk paku kaya dengan zat besi dan mengandungi vitamin A yang dikatakan penting bagi menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam.

Pucuk paku tergolong dalam keluarga paku pakis atau Ferns. Nama saintifiknya ialah Athyrium esculentum.

Kalau kita lihat orang-orang tua dulu. Walaupun usia mereka sudah hampir 1 abad tapi badan mereka masih sihat, mata mereka cerah, tak rabun. 

Berbeza dengan masyarakat zaman sekarang, muda-muda lagi mempunyai darah tinggi, mata rabun dan macam-macam lah, padahal usia mereka masih muda.

Ini semua kerana, orang-orang tua zaman dulu suka makan ulam-ulaman tradisional contohnya seperti pucuk paku yang baik untuk mata, buah jering yang baik untuk tulang kerana kaya dengan protein, kalsium, zat besi dan fosforus. 

Jering boleh menjadi penawar yang berkesan untuk memulihkan kesihatan. kerana kandungan sebatian alkoloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Ulam pegaga pula telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air. Kangkung dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.

Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.

Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. 

Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Sesungguhnya khasiat ulam-ulaman sememangnya mampu memberikan faedah kepada mereka yang mengamalkannya. 

Kandungannya yang bebas dari sisa toksid yang tercemar telah memberikannya kelebihan yang tersendiri. Kandungannya yang kaya dengan pelbagai khasiat mampu memberikan 1001 faedah orang yang mengamalkannya.

No comments:

Post a Comment