Friday, 13 May 2022

UBI KELADI SETAWI SEDAP DIMAKAN

 
Keladi banyak jenis. Ada jenis yang boleh dimakan ubi dan batang (pelepah). Manakala ada jenis yang hanya ubi boleh dimakan. Salah satu jenis yang hanya ubi boleh dimakan adalah dikenali keladi setawi.

Nama keladi setawi digunakan di kalangan penduduk di Kelantan. Nama lain ia dikenali keladi telur dan keladi sarawak.

Dinamakan keladi telur kerana bentuk agak bulat bujur seperti telur dan melekat pada umbisi induk.

Kawasan sesuai untuk penanaman keladi telur adalah dari jenis tanah subur khususnya dari jenis tanah gambut. Anak benih keladi telur boleh didapati dengan menggunakan umbisi itu sendiri, anak sulur pokok yang dipotong menngikut ukuran sekitar 25-30 cm.

Pokok keladi ini mempunyai batang dan daun bersaiz besar dengan warna hijau perak. Keladi telur mengambil masa lebih 12 bulan untuk ia berbuah dan sedia untuk dituai.  

Tuaian hasil keladi telur berlainan dengan kebanyakan jenis keladi lain. Hasilnya bukanlah dari umbisi induknya tetapi daripada umbisi-umbisi kecil yang keluar dari umbisi pokok induk.

Umbisi-umbisi ini perlu dituai apabila pokok induknya matang. Sekiranya lambat dituai ia akan menghasilkan anak pokok dan sesuai untuk dijadikan benih pula.

Umbisi-umbisi ini boleh dijadikan makanan dengan direbus atau juga boleh dijadikan sayuran seperti masak lemak. Selain itu keladi telur ini diproses atau dijadikan kerepek atau beberapa jenis kuih tradisional seperti kuih talam.

Biasanya umbisi keladi telur ini atau keladi sarawak hanya direbus dan dimakan panas-panas. Isinya agak empuk dan kadang-kadang padat. Sebab itu juga juga sesuai dibuat pengat dan disira, selain digoreng.

No comments:

Post a Comment