Sunday, 9 June 2024

PEMERINTAHAN NEGARA DILAKUKAN SECARA KOLEKTIF

 
Siapa membuat dasar atau memutuskan sesuatu perkara dalam pemerintan negara Malaysia? Adakah perdana menteri atau menteri berkuasa penuh terdahap apa yang ingin dilakukan?
 
Rakyat nampak perdana menteri dan menteri yang berkuasa sepenuhnya menentukan dalam pemerintahan negara. Itu yang rakyat lihat dan anggap. Namun, hakikatnya ia tidak semudah itu. Dalam menentukan dasar dan tindakan, banyak peringkat perbincangan daripada jabatan, kementerian dan seterusnya kabinet yang akan memutuskan.
 
Satu-satu tindakan tidak hanya melibatkan satu jabatan atau kementerian sahaja. Banyak dasar kerajaan perlu mengambil kira pendapat dan tindakan yang bakal dilakukan oleh jabatan atau kementerian lain.
 
Dalam perkara melibatkan undang-undang, perlu dikaji dahulu adakah ia menepati undang-undang sedia ada. Jika bertentangan, perlu dibuat rang undang-undang baharu untuk membolehkan ia dilaksanakan. Dalam hal ini pula, tidak semua perkara boleh diubah kerana ia mungkin ada kaitan dengan perkara-perkara lain yang tidak boleh diubah.
 
Begitu juga dalam soal kewangan. Mana-mana negara, termasuk negara kaya, berdepan dengan kekangan kewangan. Dalam istilah ekonomi ia dipanggil kos melepas. Kos melepas boleh didefinisikan sebagai pilihan yang terpaksa dilepaskan kerana kita memilih pilihan yang dirasakan lebih baik pada masa itu.
 
Contohnya, kalau Malaysia ingin meningkat sistem pertahanan yang canggih dan menghasilkan sendiri peralatan ketenteraan, maka ia adalah kos melepas kepada keperluan-keperluan lain, seperti pendidikan, kesihatan, keagamaan, kesejahteraan dan lain-lain.
 
Maka, pihak kerajaan perlu membuat pertimbangan antara manfaat dan kekurangan setiap pilihan. Kalau banyak perbelajaan kepada ketenteraan, tentu sekali ia memberi kesan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
 
Sebab itu, semasa membentangkan bajet setiap tahun, semua aspek diambil kira. Perkara utama difikirkan ialah anggaran pendapatan dan kemudian barulah boleh dibuat peruntukan kepada setiap kementerian dengan bijaksana.
 
Justeru, bukan mudah untuk diputusakan sesuatu perkara hanya berdasarkan kepada pendapat awam. Banyak perkara perlu dipertimbangkan atau diambil kira. Membuat keputusan di peringkat negara tidak semudah keputusan hendak makan apa ketika kita membuat pesanan di kedai makan.
 
Kerajaan mengambil sesuatu keputusan dan perlaksaan adalah mengikut secara kolektif atau perbincangan yang membawa kepada keputusan bersama. Jadi, perdana menteri, menteri, setiausaha kementerian, ketua pengarah, pengarah dan semua peringkat pengurusan sebenarkan melaksanakan sesuatu berdasarkan keputusan “bersama” yang kolektif.

No comments:

Post a Comment